Eksekutif jualan rugi lebih RM100,000 diperdaya kenalan aplikasi

SIBU - Bermula dengan jatuh hati menerusi aplikasi dating popular, namun berkesudahan dengan kekecewaan kewangan bagi seorang wanita apabila menjadi mangsa penipuan dalam talian yang menyebabkan kerugian lebih RM100,000.
Mangsa, seorang eksekutif jualan dan pemasaran dilaporkan bertemu dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai "Lucian Hee Hao Yu", kononnya seorang jurutera di aplikasi berkenaan pada awal tahun ini.
Percintaan maya mereka kian mekar, beralih daripada aplikasi berkenaan ke WhatsApp dengan rasa percaya semakin mendalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tidak lama kemudian, suspek memperkenalkan wanita itu kepada apa yang dia dakwa sebagai "peluang menguntungkan" - satu skim pelaburan eksklusif yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Beliau berkata, di bawah arahan ‘Lucian’, mangsa dipujuk untuk mendaftar di sebuah laman web yang kelihatan profesional dan diarahkan untuk berkongsi maklumat peribadinya.
"Mangsa seterusnya membuat 12 transaksi berjumlah RM102,992.40 ke tiga akaun antara 6 Februari hingga 6 Mac. Lebih membimbangkan, mangsa juga mengambil pinjaman bank untuk membiayai pelaburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Zulkipli berkata, namun, pulangan yang dijanjikan tidak pernah diperoleh dan setelah beberapa minggu, mangsa mula sedar yang dia telah ditipu dan memutuskan untuk membuat laporan polis semalam.
Beliau berkata siasatan telah dimulakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan orang ramai diminta sentiasa berwaspada apabila ditawarkan peluang pelaburan, terutamanya daripada individu yang tidak dikenali dalam talian.
"Orang ramai diseru membuat semakan pengesahan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau semakan menerusi aplikasi Investment Checker.
"Selain itu, orang ramai boleh menyemak akaun bank atau nombor telefon yang mencurigakan melalui portal Semak Mule di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk mendapatkan bantuan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!