[VIDEO] KDN siasat video papar Jalur Gemilang tidak lengkap
PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan terhadap rakaman video tular yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dipercayai berlaku di sebuah ekspo jualan barangan bayi di ibu negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses siasatan yang dijalankan sama seperti dilalui oleh akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan ilustrasi bendera Malaysia tanpa bulan sabit dalam penerbitan muka depan.
"Saya ambil peluang ini untuk mengingatkan semua pihak bahawa bendera ini adalah lambang identiti negara yang membawa pelbagai makna dan maksud di sebaliknya. Jadi, sebarang bentuk kelalaian, kecuaian, yang boleh mengundang rasa resah dalam kalangan masyarakat perlu dielakkan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Selasa.
Sebelum ini, masyarakat mengkitik Jalur Gemilang yang tidak mempunyai simbol bulan sabit dipaparkan di belakang pentas gerai sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran jualan produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya telah menerima maklum balas daripada Sin Chew Daily pada Isnin berhubung insiden Jalur Gemilang.
"Kami akan teliti terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan ke atas akhbar itu," jelasnya.
Minggu lalu, Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu berkenaan.
Penyiaran ilustrasi itu sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa lepas.
Selain mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!