Kediaman di Kampung Sungai Baru tidak lagi selamat diduduki - Pemaju

KUALA LUMPUR - Pihak pemaju menggesa orang ramai agar menyokong kerja-kerja pembangunan semula di Kampung Sungai Baru di sini, susulan keadaan sebahagian besar hartanah yang didakwa sudah tidak selamat untuk didiami.
KL City Gateway Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, lapan blok flat sedia ada di kawasan tersebut telah dikenal pasti sebagai usang dan tidak selamat, selain terbiar berikutan penghuni telah berpindah ke rumah transit yang disediakan.
“Pada masa ini, kerja perobohan dan pembinaan semula projek ini telah dijalankan mengikut prosedur undang-undang yang dipantau oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) serta Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP),” katanya.
Mengulas mengenai saman difailkan 17 penduduk terhadap Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan berhubung dakwaan bahawa hartanah tersebut berada dalam kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS), pemaju menegaskan pendirian mereka adalah jelas dan nyata.
“Berdasarkan semakan rekod sedia ada, hartanah yang terlibat dengan projek ini bukan berstatus mahupun berada dalam kawasan MAS, tetapi perkara ini tidak boleh diulas lanjut kerana perlu tunggu keputusan muktamad mahkamah,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuasa hati dengan pampasan diperoleh.
Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
Terbaharu, penduduk unit flat yang terlibat dengan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dilaporkan telah menerima notis pengosongan premis beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu.
Mengulas lanjut, KL City Gateway berkata, pihaknya merupakan pemilik berdaftar yang sah bagi semua hartanah terlibat berdasarkan dokumen hak milik yang dikeluarkan oleh Pendaftar Hak Milik Tanah Kuala Lumpur.
Menurutnya, pemilikan tanah tersebut diperoleh mengikut undang-undang berdasarkan perjanjian usaha sama yang dimasuki antara pemaju dan sebahagian besar pemilik hartanah serta bakinya melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Semua pampasan untuk hartanah ini telah pun habis dibayar dan diterima. Pihak pemaju juga telah memperoleh satu perintah pemilikan kosong daripada Mahkamah Tinggi masing-masing pada 15 November 2024 dan 28 Februari 2025.
“Pemilik terdahulu termasuk mana-mana penghuni yang masih menduduki hartanah tersebut perlu berpindah keluar dan mengosongkan hartanah tersebut selewat-lewatnya pada 29 April, khususnya bagi unit rumah teres untuk pelaksanaan kerja projek ini,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, beberapa permohonan saman yang difailkan penduduk untuk mengenepikan perintah mahkamah dan menghentikan pembangunan berkenaan juga telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
