Khalid tuntut Johari, Zaliha dan JPPH jelaskan isu pampasan Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mempersoalkan keadilan pampasan tanah kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang didakwa jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Menurut Khalid, nilai pampasan sekitar RM450 sekaki persegi yang ditawarkan kepada penduduk dianggap tidak masuk akal, terutama apabila dibandingkan dengan penilaian RM1,000 sekaki persegi bersebelahan kawasan milik Penempatan Pertanian Melayu (MAS) ketika era pentadbiran Pakatan Harapan.(MAS) ketika era pentadbiran Pakatan Harapan.
“Saya minta maaf, saya cabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk tampil beri penjelasan.
"Kenapa penilaian Kampung Sungai Baru yang dibuat oleh JPPH digunakan sebagai asas keputusan mahkamah?” katanya pada sidang media pada Isnin.
Beliau turut mendakwa penilaian yang terlalu rendah itu menimbulkan kecelaruan kerana kedua-dua tanah dinilai oleh agensi sama tetapi memberikan perbezaan harga yang sangat besar.
Katanya, perkara itu membangkitkan persoalan serius mengenai ketelusan proses penilaian pampasan tanah yang sepatutnya berpaksikan kepada harga semasa dan bukannya berpihak kepada pemaju semata-mata.
Khalid yang juga Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah kesan langsung kepada penduduk terlibat, terutamanya mereka yang enggan bersetuju kerana merasakan pampasan yang ditawarkan tidak adil.
“Yang sudah bersetuju itu kita hormat keputusan mereka tetapi bagaimana pula nasib yang tidak bersetuju dan kini menjadi mangsa?
“Saya mahu tahu apakah usaha Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk membela nasib mereka,” soalnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid menyambut baik langkah Johari yang dijadual mengadakan sidang media khas minggu ini bagi memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
Baginya, tindakan itu adalah satu perkembangan positif walaupun sepatutnya Johari bertindak lebih awal kerana Kampung Sungai Baru terletak dalam kawasan Parlimen dimenanginya.
“Saya alu-alukan sidang media tersebut. Memang sepatutnya dari awal dia terlibat sebab ini kawasan dia,” tegasnya.
Menurut Khalid, orang ramai kini menantikan pencerahan daripada Johari mengenai bagaimana isu pampasan rendah ini berlaku dan apa tindakan yang telah diambil untuk membela penduduk yang terkesan.
“Saya menunggu-nunggu penjelasan itu. Kita nak tahu apa peranan dia dalam membela mereka yang teraniaya,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan isu ini sebagai satu bentuk ketidakadilan yang mesti diperbetulkan segera, apatah lagi apabila melibatkan soal tanah dan tempat tinggal penduduk bandar.
Sementara itu, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru melibatkan rumah teres dan pangsapuri sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat apabila sebahagian penduduk tampil membantah nilai pampasan yang ditawarkan.
Pada Disember lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa projek pembangunan tersebut dijalankan atas dasar rundingan bersama antara pemilik tanah dan pemaju tanpa sebarang unsur paksaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa bayaran pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat telah disalurkan secara berperingkat melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) bermula Februari 2022 hingga Januari 2023.
Bagaimanapun, Khalid menegaskan bahawa persoalan mengenai asas penilaian JPPH masih belum dijawab dan perlu dijelaskan secara terbuka agar rakyat tidak terus dikelirukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!