KPKT lulus 57 projek penyelenggaraan perumahan bernilai RM20.97 juta di Pulau Pinang

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo berkata perbelanjaan itu meliputi 57 projek PPP dan TPPM bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan perumahan berstrata awam serta swasta.
"Projek-projek penyelenggaraan ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai,” katanya pada sidang media pengumuman kelulusan peruntukan PPP 2025 di bawah KPKT dan pengeluaran geran hakmilik strata pada skim perumahan Taman Tun Sardon di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada KPKT yang meluluskan peruntukan itu dan berkata penyelenggaraan perumahan penting demi menyediakan persekitaran kediaman yang selesa serta berkualiti kepada penghuni rumah berstrata.
Bagi rumah pangsa Taman Tun Sardon, beliau memaklumkan KPKT meluluskan empat projek iaitu melibatkan kerja-kerja pendawaian, menggantikan railing koridor, penggantian bumbung dan menurap semula jalan di bawah PPP berjumlah RM900,000.
Sundarajoo berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu melalui proses perolehan yang teratur dan ditawarkan kepada kontraktor yang berjaya dengan tempoh pelaksanaan selama 12 minggu serta dijangka siap sepenuhnya pada 4 Julai nanti.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengenal pasti lapan kawasan perumahan di Pulau Pinang bagi pelaksanaan projek Pembaharuan Semula Bandar, antaranya Mak Mandin, Taman Siakap dan Taman Mesra di Seberang Perai serta Padang Tembak, Free School dan Taman Tun Sardon di bahagian pulau.
Sundarajoo berkata perkara itu menjadi fokus utama kerajaan negeri melalui LPNPP dalam memastikan pembekalan Rumah Mampu Milik diteruskan selain menyediakan perumahan ergonomik dan selesa untuk rakyat.
"Projek pembaharuan semula sebagai langkah strategik bagi meningkatkan penggunaan tanah dan menambah baik kualiti kehidupan, malah pemilik rumah juga mendapat kediaman yang lebih besar. Namun, kita hanya akan melaksanakan selepas mendapat persetujuan mereka (pemilik rumah),” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!