Muda tuntut penjelasan kelewatan tiga projek penting di Pulau Pinang

Andika
Andika
A
A
A

GEORGE TOWN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang menuntut penjelasan kerajaan negeri berhubung kelewatan beberapa projek di negeri ini yang melibatkan warisan budaya dan pembangunan infrastruktur.

Pengerusinya, Andika Putera berkata, kelewatan tiga projek penting terbabit mencerminkan kelemahan dalam perancangan dan keutamaan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, antara yang menjadi tumpuan ialah Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, yang pembinaannya telah mencapai 94 peratus pada April 2024.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai tarikh pembukaannya kepada umum.

"Tapak ini merupakan tinggalan prasejarah yang penting kepada identiti negeri.

"Kami menuntut penjelasan penuh daripada NCIA dan kerajaan negeri mengenai sebab kelewatan dan tarikh sebenar pembukaan kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain itu, Andika turut mempersoalkan kerja-kerja baik pulih Muzium Negeri Pulau Pinang di Lebuh Farquhar.

Beliau berkata, walaupun kerja luaran dilaporkan telah siap namun kerja dalaman masih belum diselesaikan dan tiada makluman terkini diberikan kepada orang ramai.

"Muzium adalah nadi warisan, daya tarikan pelancongan dan juga pusat pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Kelewatan ini mencerminkan kegagalan pengurusan dan keutamaan pentadbiran negeri," katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut membangkitkan isu Projek LRT Laluan Mutiara yang diumumkan secara rasmi pada Januari 2025 oleh Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan, namun masih belum menunjukkan sebarang tanda-tanda kerja pembinaan dimulakan.

“Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa projek ini tidak dapat dimulakan selagi MRT Corp belum mengeluarkan notis mula kerja.

"Sampai bila rakyat harus menunggu? Mereka berhak tahu," ujarnya

Berikutan itu, Andika mencadangkan agar kerajaan negeri mengadakan sesi penerangan awam secara berkala bagi memaklumkan perkembangan projek-projek terbabit.

Malah, katanya satu jawatankuasa pemantauan bebas yang melibatkan masyarakat sivil dan pakar juga disarankan agar dapat memastikan ketelusan.

"Rakyat Pulau Pinang berhak tahu status-status projek yang dijalankan supaya rakyat tidak diperbodohkan dengan kata-kata manis projek berskala besar tapi bayangan masih belum nampak rupa," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!