'Kampung' warga asing tengah ibu kota diserbu

KUALA LUMPUR - Perkampungan pendatang asing tanpa izin (PATI) di tengah ibu kota, di Medan Imbi di sini yang menempatkan blok bangunan empat tingkat dan dilengkapi dengan premis kedai digempur pada Khamis.
Serbuan ke atas enam blok bangunan itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya bersama JIM Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula jam 7.30 malam.
Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati setiap blok agak usang dan kotor itu menempatkan unit kediaman disewa warga asing dengan harga sekitar RM600 setiap bilik.
Ketika serbuan, terdapat beberapa cubaan warga asing melarikan diri termasuk bersembunyi di atas bumbung dan menyamar sebagai pelanggan kedai. Malah ada antara mereka cedera ketika cuba melarikan diri.

Difahamkan, ada warga asing yang dicekup cuba menyogok anggota operasi, namun cubaan itu tidak diendahkan.
Bukan itu sahaja, serbuan di sebuah premis kedai yang disyaki berselindung dengan menggunakan nama kafe mengesan aktiviti perjudian dalam talian.
Dakwa pekerja wanita Indonesia berusia lingkungan 30-an, dia diberi gaji RM1,800 sebulan sebagai pekerja di premis terbabit.
"Kedai ini baru buka. Setiap hari ada juga kadang-kadang orang di sini (warga asing) duduk dan bermain judi online.
"Mereka duduk dan main di telefon sahaja. Kalau nak 'top-up' kami akan buatkan," katanya selepas ditahan JIM.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah menahan 506 warga asing termasuk 58 wanita disyaki melanggar peraturan imigresen hasil pemeriksaan 895 individu.

Katanya, tangkapan paling ramai melibatkan warga Bangladesh selain Nepal, Indonesia, India serta Sri Lanka.
"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas dan tinggal lebih masa," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Khamis.
Tegasnya, operasi sebegini akan diteruskan untuk memastikan warga asing yang berada di lokasi sebegini memenuhi syarat keberadaan.
"Kita tidak berhenti di sini, mana-mana kawasan hotspot tumpuan warga asing akan sentiasa dipantau selain pemeriksaan mengejut dilaksanakan sepanjang tahun," ujarnya.
Dalam pada itu, kata Zakaria, statistik yang direkodkan JIM tahun ini setakat 16 April mencatatkan 3,870 operasi dengan pemeriksaan 52,318 orang.
"Hasilnya, seramai 491 majikan dan 22,486 PATI ditahan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!