Helah lapuk warga asing konon jadi pelanggan restoran

KUALA LUMPUR - Berpura-pura menjadi pelanggan kedai makan antara helah pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail, di sini, pada Jumaat.
Serbuan Op Selera yang dijalankan oleh JIM Kuala Lumpur bermula jam 10.40 malam, susulan aduan awam berhubung keberadaan warga asing tanpa dokumen sah.
Ketika serbuan dilakukan, beberapa warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen bertindak melarikan diri dan menyorok di dalam premis.
Malah, ada antara mereka yang bekerja di restoran terbabit berpura-pura menjadi pelanggan dan kononnya mahu membeli makanan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas lapan premis restoran.
“Sepanjang operasi, seramai 68 individu termasuk lapan warga tempatan telah diperiksa. Hasil pemeriksaan, 46 warga asing disyaki PATI — terdiri daripada 40 lelaki dan enam wanita - ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada permit sah serta melanggar syarat pas,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tangkapan melibatkan warga Yaman (14 orang), Syria (7), Pakistan (4), Bangladesh (10), Mesir (4), Indonesia (3), Myanmar (1), Afghanistan (1) dan Filipina (1).
Menurut beliau, operasi penguatkuasaan seumpama ini dijalankan secara berterusan termasuk mengesan majikan yang menggajikan atau melindungi PATI.

“JIM Kuala Lumpur tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tidak memiliki dokumen sah, tinggal lebih masa daripada tempoh pas atau permit yang dibenarkan, serta melanggar syarat-syarat pas,” tegasnya.
Kesemua yang ditahan berusia antara 28 hingga 50 tahun dan telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
