19 warga asing ditahan tiada dokumen sah, salah guna permit kerja

17 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah dan penyalahgunaan permit kerja.
17 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah dan penyalahgunaan permit kerja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Operasi Tindakan Khas KL Strike Force di sekitar kawasan perniagaan Jalan Thamby Abdullah, Brickfields di sini.

Dalam operasi bersepadu ini, sebanyak lapan premis diperiksa dan empat daripadanya diarahkan tutup serta-merta atas pelanggaran Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian serta UUK Pelesenan dan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

DBKL turut mengeluarkan tujuh notis kompaun ke atas pelbagai kesalahan yang melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan peraturan pelesenan berkaitan.

Sementara itu, JIM menahan 19 individu warga asing iaitu 17 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah dan penyalahgunaan permit kerja.

Sebanyak lapan premis diperiksa dan empat daripadanya diarahkan tutup serta-merta - Foto DBKL
Sebanyak lapan premis diperiksa dan empat daripadanya diarahkan tutup serta-merta - Foto DBKL

Dalam tindakan berasingan, KPDN pula mengeluarkan enam kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

Empat kes turut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan penyitaan barangan kawalan seperti gula, tepung, minyak masak dan barangan lain yang disimpan tanpa lesen.

DBKL dalam kenyataan menegaskan, tindakan tegas akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan setiap premis perniagaan di ibu kota mematuhi undang-undang dan tidak disalahgunakan oleh warga asing tanpa kelulusan sah.

“Operasi seperti ini akan diteruskan secara konsisten demi menjaga kesejahteraan penduduk tempatan dan memastikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan dengan tegas,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!