'Perkampungan warga asing' di Hentian Kajang digempur, 288 ditahan

KAJANG - Operasi menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di Hentian Kajang, di sini, pada Khamis, membongkar sebuah premis di tingkat satu blok bangunan yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
Serbuan di enam blok bermula jam 7.30 petang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ketika diserbu, premis bertutup itu disangka sebagai premis kediaman.

Namun, ketika pintu premis diketuk oleh anggota operasi, seorang wanita Indonesia keluar sebelum menemui beberapa komputer riba di atas meja.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu mendakwa, dia bekerja menjaga premis sejak tiga bulan lepas dengan gaji RM1,800 sebulan.
"Kedai buka dari jam 10 pagi sampai 10 malam. Ramai orang datang siang, Bangladesh biasanya," katanya kepada ditanya pemberita di lokasi serbuan di sini.
Tinjauan Sinar Harian dalam serbuan itu mendapati terdapat cubaan warga asing melarikan diri selain bersembunyi dalam tandas dan memberi pelbagai alasan semasa ditahan.
Selain itu, terdapat juga warga asing yang melakukan kerja-kerja menjahit pakaian di kaki lima premis selain penduduk tempatan mendakwa kawasan itu seperti 'perkampungan' asing ketika hari minggu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, operasi terbabit telah menahan 288 orang disyaki PATI membabitkan 242 lelaki serta 46 wanita berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun.
Katanya, tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka dan Sudan.
"Antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen, langgar syarat pas, tinggal lebih masa serta pemegang kad yang tak diiktiraf.
"Lokasi ini pernah diserbu sebelum ini dan akan terus dipergiat pada masa akan datang bagi memastikan lokasi terbabit bebas daripada PATI," katanya.

Tambahnya, kebanyakan warga asing terbabit bekerja di premis makanan dan kilang berhampiran.
Ketika ditanya berhubung penemuan premis disyaki berkaitan aktiviti perjudian, Jafri berkata, siasatan lanjut akan dibuat bagi mengesahkan kejadian itu.
Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Semenyih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!