Penutupan Menara KL umpama trend ambil alih paksa - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Penutupan Menara Kuala Lumpur kepada pengunjung buat sementara waktu bermula Khamis, kononnya bagi tujuan penyelenggaraan didakwa sebagai satu bentuk kekerasan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mendakwa, situasi itu dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menghalau secara paksa syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) yang diketuai Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh.

"Perkembangan ini amat membimbangkan kerana ini bukan kali pertama kerajaan menggunakan kuasa secara paksa untuk mengusir kelompok tertentu bagi memberi ruang kepada kelompok lain.

"Situasi sama pernah berlaku sebelum ini melibatkan pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru untuk memberi laluan kepada satu lagi kontraktor pembinaan mengambil alih kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dalam kenyataan malam Rabu memaklumkan bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Menurut kenyataan itu, tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.

Wan Saiful turut mempersoalkan tentang ‘trend’ baharu melibatkan kerakusan kerajaan mempergunakan kuasa dan agensi demi kepentingan kelompok mahakaya terpilih.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menjelaskan penutupan Menara Kuala Lumpur sebagai tidak wajar kerana ia merupakan mercu tanda penting negara.

Tambah Wan Saiful, kerajaan sepatutnya membenarkan isu operator Menara Kuala Lumpur diselesaikan terlebih dahulu oleh mahkamah

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak percaya alasan penyelenggaraan yang diberikan. Bagi saya, alasan yang diberikan adalah satu lagi penipuan oleh kerajaan ini," ujar Wan Saiful.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!