193 bekas kakitangan Menara KL diserap semula

SHAH ALAM - Seramai 193 bekas kakitangan Menara Kuala Lumpur yang ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat konsesi lama telah diambil semula bekerja oleh syarikat pengurusan baharu iaitu LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mereka ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 21 Mac 2025 berpandukan notis penamatan yang telah dikeluarkan pada 18 Disember lalu kepada kakitangan yang terlibat.
Menurut Fahmi, pihaknya meminta syarikat baharu mengambil semua pekerja yang terlibat iaitu seramai 205 untuk kembali berkhidmat dengan Menara Kuala Lumpur.
"Kementerian dimaklumkan seramai 193 daripada 205 pekerja sebelum ini telah diserap ke syarikat baharu. Mereka telah ditamatkan perkhidmatan namun segera diambil semula bekerja oleh syarikat baharu.
"Kami minta syarikat baharu ambil semula bekerja kerana kebanyakan daripada mereka telah lama berkhidmat dengan Menara Kuala Lumpur. Ada 17 dan 19 tahun, mereka tahu selok belok di kawasan tersebut.
"Dalam masa sama, kementerian turut memastikan kebajikan para pekerja terbela dan menetapkan syarat agar kesemua kakitangan berpengalaman ditawarkan semula pekerjaan tanpa sebarang pengurangan dari segi gaji atau faedah," katanya dalam sidang akhbar Mingguan Menteri Komunikasi pada Khamis.
Tambah beliau, Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Beliau memberitahu, tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan semula melalui pelbagai saluran media.
"Pengambilalihan rasmi pengurusan menara oleh syarikat baharu telah dilakukan bermula 1 April lalu selepas kontrak pengendali terdahulu, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) tamat pada 31 Mac.
"Bagaimanapun, disebabkan syarikat lama enggan mengosongkan premis, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengambil tindakan memasuki premis pada malam1 Syawal iaitu pada 12 April mengikut peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
"Penting kita sebut dan ingatkan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah sepenuhnya hak milik kerajaan Malaysia dan diuruskan atau diteliti operasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

