Pengurusan Menara KL masih cuba digugat - Abdul Hamid

Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh menyampaikan ucapan pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Pembukaan Kapsul Wawasan 2020 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh menyampaikan ucapan pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Pembukaan Kapsul Wawasan 2020 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) didakwa cuba digugat beberapa pihak walaupun pertikaian berkaitan perkara itu telah dibawa ke mahkamah.

Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, mendedahkan campur tangan terbaharu itu termasuk tindakan Pejabat Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang mengeluarkan notis pengusiran terhadap syarikat tersebut.

Menurut beliau, MKLSB telah memfailkan tuntutan semakan kehakiman bagi menghalang sebarang tindakan yang bersifat penindasan dan menyalahgunakan kuasa.

“Adalah amat mendukacitakan apabila sejak hari pertama sambutan Aidilfitri lalu, Menara Kuala Lumpur menjadi bahan kontroversi sedangkan kami merupakan pemegang konsesi yang sah berdasarkan rekod dan perjanjian rasmi,” katanya semasa berucap pada Majlis Pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 pada Ahad.

Jelasnya, MKLSB komited untuk terus mempertahankan hak mereka secara sah serta mengekalkan operasi menara ikonik itu sebagai aset strategik negara.

“Sebarang tindakan pengusiran paksa atau rampasan hak boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta mencalarkan imej negara di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Abdul Hamid turut menegaskan bahawa penularan berita tidak tepat di media sosial memburukkan lagi keadaan, sekali gus mencabar usaha pihak pengurusan untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam setiap tindakan yang diambil.

“MKLSB komited memperkukuh sistem sedia ada demi memastikan Menara Kuala Lumpur terus menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat,” katanya.

Abdul Hamid turut menegaskan bahawa Menara KL bukan hanya sekadar mercu tanda pelancongan, sebaliknya lambang kebudayaan, teknologi dan kemajuan negara sejak ia dirasmikan pada 1 Oktober 1996.

Artikel Berkaitan:

Menara itu juga menjadi lokasi penting bagi umat Islam negara ini kerana ia berfungsi sebagai pusat rasmi penentuan anak bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun.

Katanya, semasa pembinaannya, reka bentuk dan lokasi menara turut mengambil kira pemeliharaan alam sekitar termasuk tindakan mengalihkan struktur binaan bagi menyelamatkan sebatang pokok jelutong berusia lebih 100 tahun.

Dalam majlis sama, Abdul Hamid turut merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja Menara KL atas semangat profesionalisme dan dedikasi mereka selama hampir tiga dekad.

Beliau turut menzahirkan penghormatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai tokoh yang meletakkan asas kepada impian besar Wawasan 2020 dan pembinaan Menara KL sebagai simbol aspirasi nasional.

“Kapsul masa yang disimpan sejak 1996 ini bukan sekadar menyimpan kenangan tetapi menjadi lambang amanah dan harapan masa depan negara,” katanya.

Dalam majlis itu, kapsul berkenaan dibuka secara rasmi oleh Dr Mahathir yang turut berkongsi kenangan peribadinya mengenai pembinaan Menara KL yang dipantau setiap pagi dari kediamannya di Galeria Seri Perdana.

Majlis turut meraikan Ketua Pegawai Operasi MKLSB, Afandi Abdullah, yang selama lebih 30 tahun menjaga kunci kapsul tersebut dengan penuh tanggungjawab.

Menurut Abdul Hamid, kapsul tersebut memuatkan aspirasi negara dan menjadi peringatan kepada generasi akan datang untuk terus menggalas tanggungjawab membina Malaysia Madani.

Beliau turut memuji kehadiran wakil pelbagai parti politik daripada kerajaan dan pembangkang, NGO, sektor korporat serta rakyat Malaysia dalam majlis itu sebagai cerminan semangat perpaduan dan kematangan politik negara.

“Kehadiran anda semua mencerminkan tekad kita untuk menghargai sejarah, mempertahankan warisan, dan bersama melakar masa depan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!