Tun M pertahan Menara KL, persoal motif cadangan tukar pengurusan

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mencadangkan pertukaran pengurusan atau penjualan Menara Kuala Lumpur walaupun ia tidak menghadapi sebarang masalah serius.

Menurut beliau, Menara Kuala Lumpur telah diswastakan dan menjadi bukti kejayaan Bumiputera dalam membangunkan serta mentadbir negara, justeru sebarang usaha untuk mengambil alih pengurusan sedia ada dilihat bercanggah dengan dasar negara.

“Saya tak faham mengapa ada isu kalau menara ini menghadapi masalah kerugian ataupun lain-lain, kita bolehlah fikir tentang untuk menukar pengurusannya. Tetapi setakat yang saya tahu, tiada masalah dengan menara ini, kenapa hendak dijual kepada orang lain?

“Dia sudah diswastakan, ini satu kejayaan Bumiputera mendirikan negara dan mentadbir negara, tetapi nak mengambil dari Bumiputera. Nak mengurangkan peranan Bumiputera, ini bukan dasar negara,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan kapsul masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur di sini pada Ahad.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi akan memastikan sebarang tindakan yang akan diambil dalam isu pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur dibuat selaras dengan proses undang-undang.

Kementerian Komunikasi berkata, ia mengambil maklum mengenai writ saman dan permohonan injunksi yang difailkan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baharu bagi pengurusan menara itu.

Ia menegaskan, Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan dan pengambilalihan konsesi hanya membabitkan perubahan pengurusan dan operasi yang dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP) iaitu suatu tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

Pada 28 Mac lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd, bersama anak syarikatnya, MKLSB memfailkan saman ke atas kerajaan dan beberapa pihak lain untuk menuntut ganti rugi lebih RM1 bilion.

Artikel Berkaitan:

Mereka membuat tuntutan itu susulan dakwaan penamatan perjanjian mereka secara salah pada November 2022, termasuk lanjutan konsesi syarikat daripada 15 tahun kepada 30 tahun.

Ia berikutan keputusan kerajaan pada Mei tahun lalu untuk menganugerahkan konsesi pengurusan menara itu kepada entiti lain iaitu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

Syarikat itu dalam kenyataan, menegaskan sebarang tindakan pengambilalihan Menara KL oleh LSHSM pada Syawal kedua adalah tidak sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!