RM228 juta bangunkan TOD enam stesen ECRL Terengganu

KUALA TERENGGANU - Peruntukan sebanyak RM228 juta diperlukan bagi membiayai pembinaan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 di Terengganu.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, pembangunan mengambil masa antara satu hingga tiga tahun melibatkan stesen Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai.
Menurutnya, peruntukan tersebut meliputi penyediaan infrastruktur, pengambilan balik tanah, kerja tanah serta pembangunan terminal transit bagi menyokong projek ECRL.
"Setiap kawasan stesen ECRL sudah mempunyai pelan induk dan perancangan guna tanah yang akan dibangunkan secara berfasa, mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Perancangan ini telah diselaraskan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah terlibat melibatkan tiga fasa pembangunan iaitu jangka pendek (1 hingga 3 tahun), sederhana (3 hingga 5 tahun) dan jangka panjang (lebih 5 tahun)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan oleh Sulaiman Sulong (Pas-Pengkalan Berangan) mengenai status terkini pembangunan TOD bagi semua stesen ECRL di Terengganu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, pada Selasa.
Tambah Hanafiah, bagi memacu pembangunan kawasan TOD, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah memperuntukkan dana khas bermula tahun ini bagi tujuan penyediaan infrastruktur asas sebagai insentif untuk merancakkan pembangunan di kawasan terlibat.
Jelasnya, sumber pembiayaan pembangunan TOD diperoleh menerusi pelbagai saluran antaranya peruntukan kerajaan persekutuan dan negeri, kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership - PPP) serta pelaburan swasta daripada pemaju hartanah tempatan dan asing.
"Kerajaan negeri turut menjalankan penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta Malaysia Rail Link (MRL) dalam usaha meningkatkan daya tarikan pasaran kawasan TOD kepada pihak swasta.
"Di peringkat daerah, proses penyelarasan pembangunan akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan dijadikan agenda utama dalam mesyuarat pembangunan daerah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
