Sabah lulus peruntukan khas RM285 juta naik taraf empat jalan utama

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja berkenaan di Jalan Nangoh Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon-Pitas dan Jalan Sapulut Kalabakan itu menggunakan kaedah cold in-place pavement recycling (CIPR) yang bermula awal Mac dan dijangka siap penghujung Ogos tahun depan.
"Peruntukan khas itu dibuat apabila kebanyakan jalan raya di Sabah telah melepasi hayat reka bentuk dan tidak sesuai untuk sekadar penyelenggaraan rutin sebaliknya perlu dinaik taraf secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang bertanya mengenai pengendalian, penyenggaraan jalan raya dan jambatan, serta syarikat dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan dan sejauh mana kemajuan kerja dilaksanakan.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, caruman kerajaan negeri pada tahun ini berjumlah RM450 juta dan pemberian peruntukan penyenggaraan jalan negeri oleh Kerajaan Persekutuan pula sebanyak RM675 juta.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melantik sebuah syarikat konsesi untuk menyenggara jalan Persekutuan seluruh Sabah untuk tempoh konsesi selama 15 tahun berakhir 31 Ogos 2018 dan syarikat berkenaan dilantik semula untuk tempoh lanjutan 10 tahun sehingga 31 Ogos 2028.
"Bagi jalan negeri, sebuah syarikat konsesi dilantik pada 1 Sept 2004 untuk menyenggara jalan berturap seluruh Sabah untuk tempoh konsesi selama 15 tahun berakhir 31 Ogos 2019, sebelum tempoh syarikat itu dilanjutkan selama 15 tahun lagi bermula 1 Sept 2019 sehingga 31 Ogos 2034,” katanya.
Shahelmey berkata, kerajaan negeri juga melantik tiga syarikat kontraktor untuk menyenggara jalan negeri berturap bagi kawasan luar bandar bagi lima tahun bermula Jun 2023 selain turut melantik 32 syarikat kontraktor untuk menyenggara jalan negeri tidak berturap. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!