Penguatkuasaan individu buang sampah merata-rata beri impak positif - Kor Ming

IPOH – Penguatkuasaan undang-undang lebih tegas terhadap pembuangan sampah kecil di tempat awam dikuat kuasa 1 Januari lalu menunjukkan impak positif.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, setakat ini sebanyak 755 individu telah ditahan kerana kesalahan membuang sampah dengan 478 daripadanya didakwa di mahkamah.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 15 individu telah diarahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dengan melakukan kerja pembersihan seperti menyapu jalan dan mengutip sampah sebagai sebahagian daripada hukuman.
"Ramai yang melahirkan rasa kesal dan berjanji tidak akan buang sampah lagi. Ini satu pengajaran. Undang-undang ini bersifat mendidik bukan menghukum.
"Kita mahu rakyat lebih celik dan bertanggungjawab terhadap kebersihan. Negara sudah merdeka 70 tahun, takkanlah tak tahu mana nak buang sampah," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini pada Ahad.
Kor Ming berkata, usaha penguatkuasaan akan terus diperkasa terutama di negeri-negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Katanya, bagi negeri yang menerima pakai akta tersebut, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Jelasnya, negeri-negeri lain seperti di Perak yang belum menerima pakai akta berkenaan, penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Ringkasan AI
- Penguatkuasaan undang-undang lebih tegas terhadap pembuangan sampah kecil ini menunjukkan impak positif sejak dikuat kuasa 1 Januari lalu
- Sebanyak 755 individu telah ditahan kerana kesalahan membuang sampah dan 478 daripadanya didakwa di mahkamah
- Sejumlah 15 individu telah diarahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat dengan melakukan kerja pembersihan
- Menteri berharap rakyat lebih celik dan bertanggungjawab terhadap kebersihan
- Usaha penguatkuasaan akan terus diperkasa terutamanya di negeri-negeri yang menerima akta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

