Anak syarikat konglomerat China curi air AKSB didenda RM50,000

Wakil syarikat (tengah) tiba di Mahkamah Seysen Kota Bharu pada Ahad.
Wakil syarikat (tengah) tiba di Mahkamah Seysen Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah anak syarikat konglomerat kejuruteraan pembinaan dari China yang terlibat dalam projek pembangunan kondominium mewah di bandar ini, didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad kerana kesalahan mencuri bekalan air terawat milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta pembayaran ganti rugi sebanyak RM42,690 kepada AKSB yang dibuat oleh syarikat berkenaan sebelum prosiding bermula.

Syarikat berkenaan diwakili oleh seorang pengurus projek warga China berusia 51 tahun yang hadir tanpa peguam sebagai wakil Orang Kena Saman (OKS) di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu secara menyalahi undang-undang membuat sambungan ke sesalur utama awam tanpa kebenaran AKSB bertempat di Seksyen 12, Bandar Kota Bharu, pada 11 September 2019.

Fakta kes menunjukkan operasi serbuan dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama AKSB selepas menerima aduan rasmi dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan air terawat digunakan sepenuhnya di tapak tersebut.

Punca air terawat itu digunakan untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan berskala besar oleh OKS sebagai kontraktor utama sejak Mac 2017.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah satu unit simpai logam, sebatang paip poli serta pili air putih yang bersambung dengan sambungan jenis sesiku.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 123(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPAN, Mohd Suhairy Zakaria dan Pegawai Pendakwa SPAN, Thilaga Shanmugam.

Artikel Berkaitan:

Thilaga berkata, OKS melakukan kesalahan atas dasar keuntungan komersial semata-mata bagi menjayakan projek pembangunan keseluruhan bernilai RM89 juta dan bukan atas keperluan mendesak.

“Penggunaan air terawat secara haram oleh syarikat ini menyebabkan kerugian besar kepada AKSB, sekali gus membebankan kos operasi penyediaan air bersih di negeri ini.

“Dalam jangka masa panjang, kehilangan air tidak berhasil ini akan menjejaskan keupayaan operator seperti AKSB untuk menaik taraf infrastruktur, meluaskan rangkaian bekalan ke kawasan pedalaman serta memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, mahkamah juga wajar mengambil kira pendekatan serius Parlimen melalui pindaan terkini Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 tahun ini yang memperkukuh tindakan terhadap jenayah kecurian air dan kepentingan awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!