PM umum 5 projek pembangunan utama di Pahang bermula tahun ini

KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerja awalan bagi lima projek pembangunan utama di Pahang akan dimulakan dalam masa terdekat susulan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang yang dipengerusikannya pada Jumaat.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan perancangan jangka panjang oleh kerajaan negeri melibatkan sektor infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan dan perumahan.
“Saya telah bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi projek yang menjadi keutamaan di negeri Pahang,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya.
Anwar menjelaskan, lima projek itu ialah pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FT03, penaiktarafan Jalan FT012 Jalan Kuantan-Segamat sepanjang 51 kilometer dan pakej 6 bagi Central Spine Road antara Karak-Simpang Pelangai.
Selain itu, penaiktarafan Jalan dari Kampung Padang ke Persimpangan Lampu Isyarat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 (Fasa 2) dan pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis 7 beserta 10 unit Kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Pahang.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan bahawa mesyuarat tersebut meneliti data terkini mengenai jumlah warga miskin tegar di Pahang, dengan sasaran untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu menjelang hujung April ini.
“Saya percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang dirancang dengan teliti, ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan keperluan untuk meningkatkan prestasi dan menambah baik prinsip tadbir urus yang baik (good governance) dalam pentadbiran negeri.
“Saya memberi penekanan terutamanya kepada barisan kepimpinan negeri untuk tingkatkan prestasi serta perkemas prinsip good governance agar negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap yang lebih cemerlang dan bermakna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

