'Kerah segala kekuatan tanda solidariti' - MB Selangor

SUBANG JAYA – Sebanyak 4,600 kakitangan dan 264 jentera berat digerakkan dalam operasi dua hari anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), dengan kerjasama pelbagai agensi pada Sabtu.
Ini termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya, KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Alam Flora serta 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, insiden tersebut merupakan antara yang terbesar pernah berlaku di negara ini, melibatkan kawasan dalam radius 325 meter yang terjejas teruk.
Justeru, mobilisasi besar-besaran seluruh agensi kerajaan dan sukarelawan adalah bukti komitmen dan solidariti Kerajaan Negeri Selangor.

“Kita kerahkan seluruh kekuatan kita sebagai tanda solidariti. Inilah semangat #KitaSelangor, kerana kita ada kebersamaan itu,” katanya ketika berucap merasmikan ‘Ops Mega Pembersihan’ susulan insiden letupan dan kebakaran paip gas yang menjejaskan Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, penyertaan ribuan petugas dan sukarelawan dalam operasi ini bukan sekadar satu bentuk tanggungjawab kerja, tetapi mencerminkan satu budaya murni yang wajar dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Kita bukan berada di sini atas kapasiti upah atau kerja. Kita berkumpul di sini sebagai sebahagian budaya yang perlu kita terus kekalkan di masa depan,” jelasnya.
Operasi ini menyasarkan pembersihan menyeluruh di kawasan kediaman, jalan utama, lorong belakang dan infrastruktur awam, serta pemindahan barangan rosak dari rumah penduduk.
Dengan semangat kebersamaan dan tindak balas pantas, Kerajaan Negeri Selangor memperlihatkan kesungguhan dalam membantu rakyat bangkit semula daripada tragedi, satu pendekatan yang memperkukuh erti sebenar solidariti dalam krisis.
Menjawab persoalan mengenai keutamaan pembersihan di Taman Putra Harmoni, Amirudin ketika ditemui pemberita menjelaskan, ia berpunca daripada faktor keselamatan dan akses yang masih dikawal pihak polis dan bomba.
“Kampung Kuala Sungai Baru kita fokus hari ini sebab sebelum ini belum ada kebenaran untuk KDEBWM masuk. Hanya selepas dua tiga hari lalu kita terima kelulusan, maka kita segera gerakkan operasi besar-besaran ini,” ujarnya.
Amirudin turut mengakui bahawa struktur fizikal kampung tersebut yang kurang tersusun dan dibangunkan sendiri selama bertahun-tahun menyumbang kepada tahap kerosakan yang lebih parah dan berisiko.
“Kawasan ini tidak seperti Putra Harmoni yang perumahan tersusun. Di Kampung Kuala Sungai Baru, tahap kesan letupan lebih serius, termasuk perlu mengutamakan isu keselamatan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir memaklumkan bahawa operasi pembersihan sedang berjalan mengikut jadual ditetapkan, melibatkan ratusan jentera termasuk jentera KDEBWM.
“Kita perlukan kerjasama penduduk untuk mengenal pasti barang yang hendak dibuang atau diselamatkan. Sekiranya perlu, kita sediakan tong RORO secara percuma,” jelasnya.
Setakat ini, 12 tong RORO telah dihantar ke Kampung Kuala Sungai Baru sebelum ini sebagai sokongan awal, dan KDEBWM akan terus menyalurkan bantuan logistik mengikut keperluan.
Operasi yang dibahagikan kepada sektor A, B, C dan D itu melibatkan kerja-kerja menyeluruh termasuk pembersihan longkang, jalan utama, lorong belakang, pengangkutan barang musnah, serta penebangan pokok dan pencucian kawasan tercemar.
Dengan kekuatan pelbagai pihak termasuk sukarelawan SERVE, kerajaan negeri menyeru semua pihak agar mengambil peluang dua hari ini untuk bekerjasama demi mempercepatkan proses pemulihan sebelum memasuki fasa seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

