Kebakaran Putra Heights: Faktor tanah, kerja forensik di 'ground zero' belum dapat dimulakan

SUBANG JAYA - Kerja-kerja forensik di tempat kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, masih belum dapat dimulakan berikutan struktur tanah masih belum kukuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja-kerja menstabilkan struktur tanah di kawasan berkenaan berjalan agak perlahan kerana perlu membuat teres bagi menyokong tanah agar tidak runtuh ketika dikorek.
Menurutnya, terdapat kekangan cuaca hujan dan takungan air, namun kerja ini diteruskan sepanjang 24 jam.
"Buat masa ini agensi siasatan forensik masih belum masuk ke ground zero (tempat kejadian) untuk analisa paip yang meletup.
"Kita cuba lakukan secepat mungkin. Kita tidak berhasrat berada di sini lama, tapi kekangan struktur tanah dan kesulitan dua lagi saluran paip perlu dijaga integritinya.
"Proses ini perlu dijaga dengan teliti agar tidak terusik sebelum diambil oleh forensik bomba dan polis," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kerja menanam 'sheet pile' bagi mengukuhkan struktur tanah di keliling kawah berkenaan juga belum dapat dijalankan susulan cuaca yang menentu.
Jelas beliau, agak sukar hendak menentukan bila laporan siasatan akan disiapkan, namun polis akan berusaha untuk mengeluarkan laporan awal dalam dua minggu seperti yang diumumkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan, kerja pengorekan di lokasi bencana telah dilakukan sehingga kedalaman 10 meter dalam bagi mendedahkan sepenuhnya paip gas yang terlibat dalam kejadian itu.
Dalam kejadian kebakaran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter pada 1 April, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.
Kebakaran dan letupan itu mengakibatkan kemusnahan kediaman dan harta benda selain ratusan penghuni di kediaman berhampiran dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
