Kebakaran Putra Heights: Gotong-royong mega tidak libatkan lokasi 'ground zero'

SUBANG JAYA - Mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyertai gotong-royong mega di kawasan perumahan yang terkesan insiden letupan saluran gas Petronas di Putra Heights pada Sabtu dan Ahad ini diminta untuk mendaftar terlebih dahulu dengan Sukarelawan Selangor (Serve).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, program itu akan diketuai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), yang telah memulakan kerja-kerja pembersihan di laluan umum dan kawasan sekitar.
"Sukarelawan, NGO atau pihak yang ingin membantu diminta untuk mendaftar melalui platform Selangor Volunteer bagi memastikan penyelarasan aktiviti berjalan lancar.
"Akses ke kawasan terjejas dikawal oleh pihak polis, dan hanya individu yang berdaftar sahaja yang dibenarkan masuk," katanya dalam sidang akhbar di pusat media Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Harmoni, Putra Heights pada Khamis.
Hussein turut menegaskan bahawa gotong-royong itu tidak akan dijalankan di lokasi kejadian tetapi hanya di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai selamat.
"Gotong-royong ini akan melibatkan pembersihan di persekitaran rumah dan kawasan yang telah disahkan selamat oleh bomba dan Jabatan Kerja Raya.
"Pihak yang terlibat diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa agar kerja-kerja pembersihan dapat dijalankan dengan lancar dan tidak memasuki lokasi kejadian tanpa kebenaran," katanya.
Media sebelum ini melaporkan sekitar 1,000 sukarelawan dijangka terlibat dalam proses pembersihan dan gotong-royong di kawasan yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada hujung minggu ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang menyusun gerak kerja bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan setiap kediaman yang terjejas dapat dibersihkan dengan segera.
"Selain itu, sesi pembersihan dan gotong-royong ini melibatkan sukarelawan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas), serta Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (Serve)," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
