JAIS bersihkan pencerobohan tapak Masjid Dengkil dalam sebulan

Mohd Shahizan
Mohd Shahizan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Daerah Tanah (PDT) Sepang akan membersihkan pencerobohan di tapak pembinaan Masjid Dengkil dalam tempoh satu bulan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahizan Ahmad berkata, tindakan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa tanah di bawah kawalan JAIS perlu bersih daripada sebarang pencerobohan.

“Semua tanah warta JAIS juga akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang.

“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, isu pencerobohan tanah di masjid itu menjadi tular selepas terdapat pihak didakwa membina kuil peribadi di atas kawasan yang diduduki.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Shahizan, pihak yang berada di tanah JAIS merupakan individu dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.

Beliau berkata, PDT Sepang telah memberi penempatan baharu bagi aktiviti individu tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan mendapat status menduduki sementara (TOL).

“Pada 2007, kerajaan negeri mengarahkan pengosongan tanah oleh individu berkenaan bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan oleh individu atas arahan pengosongan tapak.

“Pada 2011, kerajaan negeri mewartakan tanah dengan keluasan 10 ekar bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian dari tanah tersebut adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh pihak terbabit tanpa mengeluarkan individu yang menduduki tanah.

Artikel Berkaitan:

“Sejak awal pewartaan dibuat terhadap tanah bagi tujuan pembinaan masjid, JAIS menganggap tanah tersebut kosong daripada sebarang aktiviti dan pembinaan bangunan atau premis,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd Shahizan berkata, pada 2024, JAIS mengesan wujud aktiviti dan pembinaan premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada 2026.

Sehubungan itu, menurutnya, JAIS mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah.

“Dengan tindakan ini, JAIS berpandangan bahawa laporan polis tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah berikutan wujud aktiviti dan pembinaan premis tanpa kebenaran tetapi JAIS akui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat dari JAIS,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!