Selangor tegas tangani pencerobohan tapak Masjid Dengkil - Amirudin

Sekiranya pihak terbabit tidak berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk merobohkan struktur terbabit.

Amirudin (dua dari kanan) diiringi Rizam (tiga dari kiri) semasa Majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Depan seri Nakhoda Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam pada Ahad.
Amirudin (dua dari kanan) diiringi Rizam (tiga dari kiri) semasa Majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Depan seri Nakhoda Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan tapak cadangan pembinaan Masjid Dengkil selepas mengenal pasti kewujudan sebuah rumah ibadat peribadi yang dibina secara tidak sah di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu itu diselesaikan segera demi menjaga kesucian dan kepentingan umat Islam di kawasan tersebut.

“Mengikut titah Tuanku (Sultan Selangor), kami akan mengambil tindakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan isu ini.

"Pemilik rumah ibadat berkenaan sudah bersetuju untuk mengosongkan kawasan terbabit," katanya ketika ditemui semasa Majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Depan seri Nakhoda Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Ahad.

Amirudin menegaskan, sekiranya pihak terbabit tidak berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk merobohkan struktur terbabit.

Jelas Amirudin, tapak berkenaan bukanlah tanah hak milik rasmi dan kewujudannya tidak diiktiraf secara sah mengikut undang-undang negeri atau Perlembagaan Persekutuan.

“Ia hanyalah tempat ibadat peribadi, bukannya masjid atau rumah ibadat berdaftar.

"Maka, tidak wajar didirikan di atas tanah yang telah diperuntukkan untuk pembinaan masjid bagi manfaat komuniti Islam setempat,” tegasnya.

Amirudin turut memberi jaminan kerajaan negeri akan memastikan sebarang isu berkaitan sensitiviti agama ditangani dengan berhemah.

Artikel Berkaitan:

"Kita tegas dalam isu ini, namun keharmonian kaum dan agama akan terus terpelihara," tambah beliau.

Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail memberitahu, tiada sebarang isu perpaduan timbul setakat ini dan diharap dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

"Saya yakin isu itu akan ditangani oleh pihak berkaitan termasuk Pejabat Tanah daerah dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Selain itu, saya akan berhubung dengan jawatankuasa kampung dan komuniti setempat bagi memastikan ia selesai dengan baik," katanya.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh satu bulan.

Ini selepas tanah seluas empat hektar itu telah dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab dengan membina kuil dan tokong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!