Usaha 'pujuk' Trump

Trump
Trump
A
A
A

WASHINGTON - Tarif timbal balik ke atas puluhan negara berkuat kuasa pada Rabu termasuk duti tinggi berjumlah 104 peratus ke atas barangan China yang bakal mencetuskan perang perdagangan global ketika usaha dipergiatkan untuk melindungi industri utama.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagaimanapun sedia berunding dengan beberapa negara ketika pelabur bimbang sama ada cukai tersebut akan dilaksanakan untuk tempoh jangka masa panjang atau secara kekal.

Trump seakan-akan menggunakan 'kuasa veto' beliau untuk mengawal ekonomi dunia yang sedang huru-hara apabila memberi tekanan kepada pemimpin lain untuk berdialog dengan Washington.

Beberapa mesyuarat telah ditetapkan bersama dua sekutu rapat, Korea Selatan dan Jepun serta rakan dagangan utama manakala Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dijadualkan berkunjung ke AS pada minggu depan.

Ketika ini, negara ASEAN juga berusaha untuk 'memujuk' Trump termasuk Vietnam yang menghantar wakil untuk berunding dengan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.

Thailand pula merancang meningkatkan import AS dan menurunkan beberapa cukai lebih tinggi ke atas barangan Amerika di bawah usaha rundingan untuk mencapai perjanjian perdagangan lebih baik setelah ia berdepan kadar cukai sebanyak 36 peratus.

Indonesia juga bakal berkunjung ke Washington pada minggu depan bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan bersama AS.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, Jakarta komited mengimbangi perdagangan dua hala termasuk mengimport lebih banyak produk pertanian dari AS.

Difahamkan, kesan penuh tarif itu tidak akan dirasai buat masa ini memandangkan barangan dalam penghantaran dikecualikan daripada levi baharu itu selagi ia tiba di Washington sehingga 27 Mei depan.

Artikel Berkaitan:

Kaji selidik terbaharu menunjukkan hampir tiga perempat rakyat Amerika menjangkakan harga barangan harian akan meningkat dalam tempoh enam bulan akan datang. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!