ABIM sifatkan tindakan AS naikkan tarif bentuk perang ekonomi

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif sebagai perang ekonomi bagi mengukuhkan penguasaan negara itu dalam arena politik antarabangsa.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dalam erti kata lain langkah itu bukan sekadar bersifat keuntungan perdagangan semata-mata kerana ia jelas menjurus ke arah untuk menekan ekonomi negara lain.
Justeru katanya, ABIM menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa kerjasama lebih erat perlu dijalankan dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk menghadapi krisis ekonomi yang dicetuskan oleh Presiden AS, Donald Trump.
"ABIM berpandangan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap keadilan ekonomi global boleh memainkan peranan aktif dalam menyatukan negara-negara serantau dan termasuk negara Islam untuk menentang hegemoni ini secara kolektif dan berprinsip.
"Pertemuan antara China, Jepun dan Korea Selatan di Kuala Lumpur merupakan antara indikasi kepercayaan negara-negara besar terhadap peranan Malaysia sebagai platform dialog yang neutral dan strategik," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, usaha tersebut membuka ruang persimpangan baharu, bukan sahaja untuk negara-negara ASEAN tetapi juga negara-negara dari dunia Islam, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain bagi menerokai ruang ekonomi serta perdagangan baharu yang lebih adil dan seimbang.
"ABIM turut menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terutamanya negara-negara teluk (GCC) untuk memanfaatkan momentum ini dan meletakkan asas kerjasama ekonomi yang lebih kukuh bersama blok ASEAN plus 3 iaitu China, Jepun dan Korea.
"Antara ruang yang boleh dimanfaatkan ialah ketika Sidang kemuncak ASEAN, GCC dan China yang dijadualkan pada akhir Mei ini.
"Dunia Islam perlu proaktif untuk memainkan peranan strategik dalam mencipta lapangan ekonomi global yang lebih saksama untuk semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
