Rakyat perlu ambil tahu kesan pelaksanaan tarif AS

Trump mengumumkan gelombang tarif baharu yang belum pernah terjadi sebelum ini ke atas import dari semua negara yang berdagang dengan AS. Foto AFP
Trump mengumumkan gelombang tarif baharu yang belum pernah terjadi sebelum ini ke atas import dari semua negara yang berdagang dengan AS. Foto AFP
A
A
A

AMERIKA Syarikat (AS) telah mengenakan tarif kepada lebih 180 negara termasuk Malaysia dan ia dijangka memberi impak yang cukup besar untuk jangka masa panjang.

Ini kerana AS merupakan rakan dagang terbesar dan jumlah eksport ke negara itu pada 2024 adalah RM196.6 bilion, menyamai 13.2 peratus daripada jumlah eksport negara.

Ia menjadikannya AS sebagai pasaran kedua terbesar eksport negara selepas Singapura.

Kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia adalah sebanyak 24 peratus dilihat lebih sederhana berbanding masing-masing, Kemboja (49 peratus), Indonesia (32 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (45 peratus), Thailand (37 peratus), Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus).

Secara positif, tarif rendah yang dikenakan kepada Malaysia akan menyebabkan kita menjadi pilihan oleh pelabur atau mana-mana perusahaan.

Namun kesan negatif adalah kemungkinan syarikat-syarikat atau kilang yang mengeksport produk ke AS akan kehilangan pendapatan akibat permintaan berkurangan. Ini menyebabkan mereka terpaksa mengecilkan operasi atau akhirnya gulung tikar.

Ada juga kemungkinan syarikat-syarikat dari AS menutup operasi dan kembali beroperasi di negara tersebut seperti yang diimpikan Presidennya, Donald Trump.

Jika perkara itu berlaku, dibimbangi kemungkinan kadar pengangguran akan meningkat apabila ramai terpaksa diberhentikan kerja.

Harus diingat bahawa kebimbangan ini juga akan turut dirasai diseluruh dunia dan akan menyebabkan ekonomi global terjejas teruk.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, terdapat juga kemungkinan negara-negara lain akan mengeksport produk mereka ke Malaysia sehingga mewujudkan lambakan barangan dan akhirnya berlaku persaingan dengan pengeluar tempatan.

Pada ketika ini, pasaran-pasaran saham global juga sudah mula mengalami kejatuhan besar-besaran ekoran pengumuman yang dibuat oleh Trump minggu lalu.

Jadi, kita harap rakyat kena cakna dengan perkembangan semasa ini kerana ia bakal memberi kesan besar kepada kita semua.

Cabaran mendatang ini menuntut supaya semua rakyat bersatu hati dan sama-sama berdoa agar Malaysia dapat mengharungi apa jua rintangan yang bakal mendatang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!