Sukar atasi kesan langsung tarif dalam tempoh singkat

Sudah tiba masanya untuk Malaysia keluar atau lari daripada pasaran AS, malah katanya negara kuasa besar dunia itu juga bukan rakan dagang terpenting negara. Gambar hiasan (Gambar kecil: Barjoyai (kiri), Mohd Faisol
Sudah tiba masanya untuk Malaysia keluar atau lari daripada pasaran AS, malah katanya negara kuasa besar dunia itu juga bukan rakan dagang terpenting negara. Gambar hiasan (Gambar kecil: Barjoyai (kiri), Mohd Faisol
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa langkah diambil Malaysia termasuk pengaktifan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) bagi mendepani cabaran tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dilihat tidak mampu untuk mengatasi kesan langsung kepada negara dalam jangka masa pendek.

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, dalam tempoh singkat adalah sukar untuk Malaysia bertukar kepada pelanggan baharu dengan mengambil kira situasi semasa global seperti pasaran saham dunia jatuh susulan tarif yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, dalam tempoh pertengahan ia dijangka mampu mengatasi kesan langsung tersebut selari dengan proses negara untuk mengelak daripada menggunakan dolar AS dalam perdagangan.

“Bagi tempoh jangka masa pendek kita akan mendapat cabaran kerana semua pembekal akan berasa tekanan ini dan masing-masing akan cuba atau berlumba-lumba mencari jalan keluar.

“Jadi, mungkin kita akan terpaksa bertanding sengit dengan negara-negara lain di dunia yang turut menghadapi masalah yang sama.

“Tapi dalam jangka pertengahan kita jangka langkah yang diambil kerajaan ini mampu untuk tangani kesan secara langsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Isnin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilapor berkata, kerajaan telah mengumumkan untuk meneliti semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, berdasarkan laporan penilaian impak tarif AS yang lebih menyeluruh.

Sementara itu, Barjoyai turut berpandangan sudah tiba masanya untuk Malaysia keluar atau lari daripada pasaran AS, malah katanya negara kuasa besar dunia itu juga bukan rakan dagang terpenting negara.

Katanya, rakan dagang terpenting utama Malaysia ialah China dan Singapura, manakala AS berada di kedudukan ketiga dengan nilai eksport kira-kira RM200 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu cari pasaran baharu yang sememangnya wujud di negara Asia sendiri. Banyak sebenarnya pasaran baharu yang belum diterokai termasuk China, Taiwan dan Korea Selatan. Di negara ASEAN sendiri seperti Thailand dan Indonesia pun banyak peluang.

“Selain itu, kita boleh juga terokai pasaran baharu seperti di Timur Tengah, Afrika, India dan Kanada misalnya.

“Ini boleh mewujudkan alternatif atau pilihan lain daripada mengeksport ke AS dan kalau ini dapat kita lakukan, kita boleh dapat pasaran dan margin yang lebih baik,” katanya.

Kumpul data

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berpandangan, langkah diambil kerajaan termasuk mengumpul segala maklumat dan maklum balas bukan sahaja daripada pihak industri serta pelabur di Malaysia tetapi juga dari menteri-menteri ekonomi ASEAN.

Katanya, ia diyakini akan mampu memberikan gambaran tepat agar isu kenaikan tarif ini dapat ditangani secara bersama.

Menurutnya, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN juga membantu menangani kebimbangan kenaikan yang dikenakan oleh AS baru-baru ini.

“Sekiranya tindakan menangani kenaikan tarif ini ditangani secara kolektif oleh negara ASEAN, ia dilihat lebih berkesan dan mempunyai impak yang tinggi berbanding jika sesebuah negara cuba menanganinya secara sendirian.

“Jadi tindakan pantas oleh Malaysia selaku pengerusi ASEAN perlu dipuji dan diberi merit kerana respons yang pantas mampu menyelamatkan ekonomi negara daripada ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing ini,” katanya.

Beliau menambah, ketika ini juga dilihat sebagai waktu tepat untuk Malaysia memperluaskan pasaran ke negara Timur tengah, China dan India dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS.

Ini kerana katanya, meskipun AS merupakan antara rakan dagangan utama Malaysia, namun polisi yang diperkenalkan oleh negara kuasa besar itu ada kalanya merugikan negara.

“Jika ini berjaya dilakukan oleh negara melalui polisi dan dasar-dasar baharu yang mampu membantu merangsang serta menggerakkan pemain industri di Malaysia ke arah ini, Malaysia akan berjaya keluar dari permasalahan tersebut suatu hari nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!