Malaysia akan hantar pegawai ke Washington bincang tarif Trump - PM

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kemudian mengesahkan delegasi Malaysia akan berlepas ke Washington pada akhir April ini.
Anwar berkata, ini adalah sebahagian daripada diplomasi perbincangan secara baik.
"Kita akan menghantar pegawai kita ke Washington untuk memulakan proses dialog. Mungkin agak terbatas untuk penilaian semua, tetapi masih ada ruang untuk menyesuaikan dengan pelaksanaan dasar.
"Dalam pada itu, Malaysia akan menyesuaikan diri, seperti yang selalu kita lakukan. Angin mungkin beralih, tetapi kita tidak akan hanyut. Strategi kepelbagaian perdagangan kita sudahpun semakin meningkat.
"Walaupun Malaysia berhasrat untuk kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan AS, namun dalam masa yang sama kerajaan akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjaga kepentingan ekonominya," kata Anwar menerusi ucapan beliau pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bertajuk: "ASEAN 2025: Membina masa depan berdaya tahan dan terangkum.”
Menurut Anwar, ini termasuk melibatkan diri secara proaktif dengan AS bagi mencapai hasil saling menguntungkan dan pada masa yang sama, mempelbagaikan dan mengukuhkan hubungan kita dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah (EU), Asia, Timur Tengah dan Afrika.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perdagangan Malaysia dengan AS telah lama menjadi model saling memberi manfaat bersama.
"Eksport kita bukan sahaja menyokong pertumbuhan di sini tetapi pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh AS. Hubungan komersial ini telah memberi manfaat yang baik kepada kedua-dua negara tetapi langkah-langkah ini mungkin akan memudaratkan semua,” kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!