Letupan paip gas: 270 rumah dibenar didiami semula

Hussein (duduk, tengah) dalam sidang akhbar di PKTK Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussein (duduk, tengah) dalam sidang akhbar di PKTK Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebanyak 270 daripada 437 buah rumah yang terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, di sini, dibenarkan untuk didiami semula.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan serta penelitian telah dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Selain itu, sebanyak 571 kenderaan yang terjejas telah dinilai.

"Daripada jumlah itu, 88 kenderaan mengalami kerosakan lebih 50 peratus, 332 kenderaan kerosakan bawah 50 peratus, manakala 151 kenderaan tidak terjejas," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan kerosakan rumah yang terjejas dalam insiden terbabit baru-baru ini dianggarkan berjumlah RM65.4 juta, termasuk kos untuk pendawaian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika kejadian telah berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta.

Kediaman telah dibahagikan kepada tiga tahap kerosakan: musnah sepenuhnya (lebih daripada 40 peratus kerosakan struktur), sebahagian rosak (kurang daripada 40 peratus kerosakan struktur), terjejas tetapi tidak terbakar (tiada kerosakan struktur).

Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!