Kebakaran saluran paip gas: Syarikat kontraktor kunci mulut

KUALA LUMPUR - Selepas seminggu kejadian, wartawan Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan daripada pejabat kontraktor yang didakwa terbabit dengan kerja pembaikan paip pembetungan yang dikaitkan sebagai punca tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Tinjauan sekitar jam 2 petang di pejabat syarikat terbabit di ibu negara pada Isnin mendapati ia beroperasi seperti biasa.
Malah, kelihatan tiga hingga empat individu dipercayai kakitangan sedang menjalankan tugas.
Kehadiran wartawan kemudian disambut seorang lelaki yang memaklumkan bahawa pihak atasan tidak berada di pejabat.
Lelaki itu memberi alasan bahawa beliau telah menerima arahan daripada syarikat agar tidak berkongsi sebarang maklumat kepada mana-mana pihak luar.
Namun, pihak berkenaan berjanji akan menghubungi semula wartawan antara jam 3 hingga 4 petang Isnin, tetapi sehingga jam 5 petang, kontraktor berkenaan masih belum memberi maklum balas.
Terdahulu, tular sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd (KUSEL) bersama permit Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang mengesahkan permohonan kerja pembaikan paip pembetungan secara kaedah korekan terbuka di lokasi tersebut telah diluluskan.
Permit kerja itu sah bermula dari 8 Oktober 2024 hingga 8 Januari 2025.
Penularan surat berkenaan di laman Facebook mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen yang mengaitkan kerja pengorekan tersebut dengan tragedi letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

