Letupan paip gas: Kediaman terjejas di Kampung Kuala Sungai Baru mula dibaik pulih

Mohd Asri menunjukkan lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang turut menjejaskan kediaman di sekitar Kampung Kuala Sungai Baru.
Mohd Asri menunjukkan lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang turut menjejaskan kediaman di sekitar Kampung Kuala Sungai Baru.
A
A
A

PUCHONG - Proses baik pulih premis dan kediaman terjejas ringan di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini akibat tragedi kebakaran saluran paip gas sedang dilaksanakan pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati petugas keselamatan melakukan sekatan dan hanya penduduk dibenarkan masuk dengan syarat dan prosedur ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

Penduduk yang dibenarkan masuk akan menaiki van milik Prasarana.

Pos kawalan di lokasi terbabit menempatkan penugasan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Selain itu, beberapa kediaman juga dilihat sedang dibaik pulih seperti membaiki bumbung, pendawaian elektrik serta tangki air.

Sementara itu, Pemilik Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Mohd Asri Yunus, 58, berkata, proses baik pulih maahad yang kerosakan bumbung telah selesai dengan bantuan beberapa kakitangannya.

Polis mengawal laluan masuk ke lokasi terjejas di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada Selasa.
Polis mengawal laluan masuk ke lokasi terjejas di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada Selasa.

"Bumbung zink cair selepas kena bahang kebakaran. Proses baik pulih juga telah dilakukan hari ini (Selasa) selain kerja-kerja pembersihan.

Artikel Berkaitan:

"Esok pelajar akan masuk semula dan kerja baik pulih akan disiapkan hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Menceritakan hari kejadian pada 1 April lalu, Mohd Asri berkata, dia sedang bercuti raya dan tiada penghuni di maahad ketika itu.

"Saya dalam perjalanan dari Perak ke Pahang sebelum dihubungi penduduk sini memberitahu ada kebakaran.

"Saya terus bergegas pulang, namun hanya dibenarkan masuk pada hari ketiga (Khamis). Bila masuk memang bilik di maahad ini bau gas yang kuat," ujarnya.

Jelasnya, diharap kami dan semua mangsa terlibat dalam insiden ini terus diberi sokongan moral.

Dalam insiden pada 1 April di Putra Heights, Subang Jaya, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dalam sidang akhbar di hari keenam memaklumkan, sebanyak 439 rumah telah dinilai dan daripada jumlah itu sebanyak 220 rumah selamat, manakala 219 terjejas termasuk 87 rumah rosak teruk.

Selain itu, polis telah menerima 642 laporan serta 118 saksi telah diambil keterangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!