[VIDEO] PM arah Jemaah Menteri teliti semula tarif timbal balik AS

A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri mengarahkan Jemaah Menteri untuk menentukan secara terperinci kadar tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ini.

Berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman tarif berkenaan oleh Presiden AS, Donald Trump, pada Rabu lalu dilihat sebagai umum dan masih terdapat ruang untuk perbincangan serta rundingan.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

"Pengumuman tarif dengan asas yang saya anggap sangat lemah, umpamanya kaedah penentuan tarif yang diputuskan itu dan asasnya boleh dipertikai. Beberapa negara yang disebutkan, kalau tidak silap termasuk pulau-pulau yang hanya diduduki penguin," katanya pada Isnin.

Anwar menegaskan bahawa sebarang tindakan perlu diambil secara berhemah dengan meneliti terlebih dahulu pengecualian yang mungkin wujud dalam keputusan AS itu.

“Sebagai negara, kita tidak boleh terburu-buru. Ada yang mahu tindakan keras, tetapi kebijaksanaan Jemaah Menteri diperlukan untuk menilai keputusan secara terperinci dan menyemak pengecualian yang ada,” ujarnya.

Menurutnya, beliau bersama Kementerian Luar serta menteri-menteri berkaitan akan segera berhubung dengan rakan sejawat dari negara ASEAN bagi menyatakan pendirian masing-masing.

“ASEAN harus tampil sebagai kelompok kukuh. Dengan 640 juta penduduk dan kekuatan ekonomi yang besar, rantau ini adalah antara yang paling aman dan pesat berkembang di dunia,” katanya.

Trump sebelum ini mengumumkan pengenaan tarif timbal balik ke atas beberapa negara dalam langkah terbaru perang perdagangan global. Malaysia dikenakan tarif 24 peratus, sementara negara lain termasuk Vietnam (46%), Sri Lanka (44%), China (34%) dan negara serantau lain turut menerima kadar tinggi.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data Reuters, Malaysia mencatat defisit dagangan bernilai AS$25 bilion dengan AS bermakna eksport Malaysia ke AS jauh melebihi import.

Perdagangan dua hala Malaysia-AS pada 2024 mencecah RM324.9 bilion, menjadikan AS rakan dagang ketiga terbesar selepas China dan Singapura.

Anwar turut memaklumkan bahawa isu tarif turut dibincangkan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto semasa pertemuan mereka pada Ahad, selain isu Gaza dan Myanmar.

“Saya turut hubungi pemimpin dari Filipina, Brunei, Laos dan Thailand bagi menyatakan keperluan ASEAN menyelaras pendirian bersama. Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul akan mengadakan pertemuan ASEAN untuk merangka satu pendirian kolektif,” katanya.

Tambah Anwar, Malaysia perlu bersiap siaga terhadap sebarang kesan pengenaan tarif berkenaan, terutamanya kerana 65 peratus hubungan dagang Malaysia-AS adalah berkaitan eksport semikonduktor bernilai AS$100 bilion.

“Kita tidak mahu tindakan ekonomi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Fokus kita ialah untuk lindungi pekerjaan dan kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!