Tarif Trump: MITI tubuh pasukan khas kumpul maklum balas industri

Tengku Zafrul (tengah) ketika sidang akhbar di Menara MITI pada Isnin.
Tengku Zafrul (tengah) ketika sidang akhbar di Menara MITI pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengumpul maklum balas dari semua pihak berkepentingan susulan pengumuman tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan bagi memastikan eksport dan pelaburan Malaysia tidak terkesan teruk akibat tindakan unilateral AS.

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

"Esok (Selasa) MITI akan berjumpa dengan wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport.

"MITI juga akan mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Bank Negara (BNM), MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan sebagainya," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini bagi membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta respons bersepadu ASEAN.

Susulan itu menurutnya, pemimpin-pemimpin ASEAN akan bertemu untuk membincangkan hala tuju ASEAN bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan serta aliran pelaburan ke rantau ini.

"MITI juga akan mempertimbangkan untuk mengadakan perjanjian perlindungan teknologi untuk melindungi eksport semikonduktor dan aeroangkasa Malaysia.

"Pengecualian sektor akan dirundingkan dan pagi ini, saya telah bertemu dengan Duta Besar AS (Edgard D Kagan) dan rundingan seterusnya akan dibuat," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengulas mengenai pelaburan yang diluluskan, Tengku Zafrul memaklumkan, masih terlalu awal untuk menilai impak kepada operasi pelabur asing dan domestik sehingga tarif dilaksanakan pada 9 April depam berdasarkan maklum balas yang diterima MITI.

Beliau berkata, beberapa pelabur turut berkongsi bahawa rantaian bekalan mereka akan terkesan, terutama dari segi kontrak pembuatan.

"Ada pelabur Malaysia yang sedang memperlahankan pelan pengembangan perniagaan dan mula berjimat sambil memfokus kepada perluasan pasaran di China, India dan ASEAN.

"Kerajaan berazam untuk mengatasi cabaran ini dan MITI ingin menjemput semua sektor industri dan persatuan untuk bekerjasama dengan kami dalam mencari penyelesaian terbaik untuk negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!