'Masjid Madani simbol kesejahteraan, warisan generasi akan datang'

Mohamed Faroz (lapan dari kiri) dan seluruh ahli keluarga bergambar bersama Anwar semasa Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mohamed Faroz (lapan dari kiri) dan seluruh ahli keluarga bergambar bersama Anwar semasa Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Masjid Madani akan berdiri sebagai simbol kesejahteraan yang menyatu jiwa dan komuniti.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, beliau telah membentangkan cadangan pembinaan masjid itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Beliau (Anwar) bertanya, adakah nama masjid telah diputuskan. Saya menjelaskan bahawa kami sekeluarga telah mempertimbangkan beberapa nama, termasuk Masjid Jakel, atau nama para sahabat Nabi Muhammad," ujar Mohamed Faroz.

Beliau berkata, Anwar bersetuju dengan cadangan mereka, namun setelah berbincang bersama keluarga, mereka sepakat memilih nama Masjid Madani, yang dianggap sebagai penghormatan kepada usaha kerajaan hari ini di bawah kepimpinan Anwar dalam membina masyarakat yang lebih adil, beradab, dan menyantuni semua lapisan masyarakat.

"Nama Madani juga dipilih kerana merangkumi nilai-nilai Islam seperti ehsan, hormat, dan perpaduan," katanya semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah pada Khamis.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, serta Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Mohamed Faroz turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana tanpa komitmen luar biasa yang ditunjukkan Anwar, pembinaan masjid itu mungkin tidak dapat terlaksana.

"Masjid ini dibina bukan sekadar untuk tempat ibadah, tetapi juga sebagai sebuah institusi yang akan menjadi warisan dan mercu tanda untuk generasi akan datang.

"Saya yakin masjid ini akan menjadi pusat ibadah, pendidikan, dan kegiatan sosial yang mengukuhkan ummah serta menyemarakkan syiar Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan bahawa masjid itu akan memperkukuhkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat.

"Kita membina masjid untuk membina masyarakat yang tawaduk dan beriman," tambahnya.

Masjid Madani, yang terletak di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi, setinggi empat tingkat mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa, termasuk 592 jemaah di ruang solat utama.

Selain ruang solat, masjid ini juga akan dilengkapi dengan dewan acara, pejabat, serta kemudahan asas lain.

Pembinaan masjid tersebut dijangka siap dalam masa 24 bulan dari tarikh pembinaan dan akan menjadi salah satu mercu tanda pembangunan syiar Islam di Lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur.

Masjid Madani juga diharapkan dapat mengurangkan kesesakan jemaah di Masjid India dan Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, terutamanya pada setiap Jumaat dan musim perayaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!