Runding, selesai dengan baik bukan tanda kelemahan - Anwar

KUALA LUMPUR - Penyelesaian dengan cara yang baik dan perundingan yang harmoni bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan nilai Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, di negara ini, pertelingkahan politik dan perbezaan pandangan kadang kala menyebabkan banyak pihak lebih cenderung mencari masalah, menghukum, menghina, membenci, dan merendahkan orang lain yang tidak sependapat atau tidak seagama.
"Islam tidak begitu. Kita memilih untuk menjaga harmoni. Runding dengan baik. Arahan saya konsisten dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar," katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa rundingan yang baik untuk mencari penyelesaian bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya suatu langkah beradab yang berlandaskan akhlak Madani.
"Penyelesaian secara aman, beradab dan akhlak itu nilai Madani," katanya semasa Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah di sini pada Khamis.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel; serta Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Mengulas lebih lanjut, Anwar berkata, masyarakat, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam, harus berasa senang apabila berbicara mengenai masjid ini.
"Ini bukan perseteruan, namun harus dididik. Masjid ini didirikan di tengah-tengah kota dan saya mewakili pendapat, permulaan peradaban itu dari kota yang dicorak akan memberikan gambaran bagaimana tamadun negara ini boleh dibangkitkan," ujarnya.
Anwar juga menyatakan bahawa masjid ini memberikan satu falsafah tentang pembangunan yang berakar kepada akidah Islam, yang melatakkan nilai dan akhlak yang baik serta menunjukkan kasih sayang manusia di sekeliling.
"Saya dan Jemaah Menteri saya tahu dari awal saya kena tegas. Runding, ya. Tolak ansur, ya. Negara ini harus tegak sebagai negara aman dengan keselamatan yang terjamin. Kemenangan kita ini bukan kerana keangkuhan tapi kerana kita menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam," katanya.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan bukan Islam yang turut membantu dalam isu ini, termasuk Datuk Seri R Ramanan dan Gobind Singh Deo yang turut menjelaskan perkara berkaitan.
"Terima kasih semua yang terlibat, itu hak, hak itu bersandarkan hukum. Bagilah hujah apa pun. Saya minta seluruh laporan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan jabatan agama sebelum keputusan muktamad. Bila saya yakin, kita buat keputusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
