Tidak kekok bersila, Iftar Ala Madinah eratkan ukhuwah

SHAH ALAM – Tanpa mengira latar belakang pekerjaan dan status sosial, ratusan pengunjung yang menghadiri Program Iftar Ala Madinah @ Karangkraf selesa menikmati juadah berbuka puasa sambil duduk bersila di Dataran Karangkraf, di sini.
Suasana penuh harmoni itu mencerminkan nilai kebersamaan dalam masyarakat apabila setiap individu berkongsi pengalaman berbuka puasa dalam suasana sederhana tetapi bermakna.
Pengunjung, Roziana Abdul Hamid, 36, mengakui teruja kerana berpeluang menyertai program berbuka puasa secara beramai-ramai pada tahun ini.

"Konsep iftar yang dibawakan oleh Karangkraf sepanjang Ramadan ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah tetapi juga menyemai semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam," katanya.
Menurutnya, program seperti itu memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai pengalaman berbuka ala Madinah yang mengutamakan kesederhanaan dan kebersamaan.
"Kita dapat lihat ramai yang duduk bersila tanpa mengira status pekerjaan masing-masing. Ini menunjukkan kita semua seperti sebuah keluarga besar selain menghidupkan sunnah Rasulullah SAW," ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Shahrul Imran, 46, berkata, penyertaannya dalam program tersebut sudah memasuki tahun ketiga dan pengalaman berbuka puasa secara berjemaah amat menyeronokkan.
"Ini juga memberikan pengalaman baharu buat anak-anak saya. Mereka belajar tentang nilai kebersamaan dan erti kesederhanaan dalam Islam," katanya.

Katanya, program seperti ini bukan sahaja membantu menjimatkan belanja tetapi juga menawarkan suasana unik yang sukar diperoleh di tempat lain.
"Boleh dikatakan program ini adalah acara tahunan yang dinantikan. Saya menyokong penuh agar ia diteruskan kerana ia juga dapat menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan," tambahnya.
Bagi Mahanum Yusof, 57, hampir setiap hari dia dan keluarganya tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut kerana anak-anaknya begitu teruja.
"Anak-anak kecil paling tidak sabar hendak datang ke sini. Mereka suka menyertai program kemasyarakatan seperti ini kerana suasana yang meriah dan penuh keakraban," katanya.

Tambahnya, program tersebut juga berperanan mengeratkan silaturahim antara sesama insan tanpa mengira latar belakang.
"Di sini, semua orang sama. Kita duduk bersila menikmati makanan berbuka dengan penuh harmoni, tanpa sebarang jurang perbezaan," ujarnya.
Program Iftar Ala Madinah @ Karangkraf berlangsung dari 3 hingga 27 Mac ini, bermula jam 6 petang setiap hari kecuali Sabtu, Ahad serta cuti umum.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai program itu perlu mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari melalui imbasan kod respons pantas (QR) di laman web rasmi iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-2133315.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
