Belajar erti kesukarelawanan

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar menikmati juadah berbuka puasa secara percuma dalam suasana berbeza, tetapi juga mendidik mereka tentang erti kesukarelawanan yang sebenar.
Susulan daripada itu, seramai 38 pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Sains Seri Puteri Kuala Lumpur, menyertai aktiviti kesukarelawanan di program tersebut sebagai sebahagian daripada kokurikulum mereka.
Guru pengiring, Rakif Selamat, 34, berkata, program ini bukan sahaja memberi pengalaman bermakna kepada pelajar, malah membantu mereka memperoleh markah kokurikulum.
“Bukan itu sahaja, kita nak libatkan mereka dengan banyak aktiviti kesukarelawanan. Kita mahu pelajar terlibat tahu aktiviti ini bukan sekadar satu aktiviti sampingan, tetapi ia mendidik pelajar tentang nilai empati, tanggungjawab dan semangat berkhidmat kepada masyarakat.
“Penglibatan dalam program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang tenaga sambil memperoleh pengalaman baharu di luar bilik darjah,” katanya ketika ditemui di Dataran Karangkraf di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Dalam pada itu, Rakif berkata, bukan sahaja aktiviti kesukarelawanan tetapi pelajar juga dapat melawat bahagian editorial Sinar Harian dan kilang percetakan Ultimate Print.
Beliau juga berharap program sebegini diteruskan pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak pendedahan dan manfaat kepada para pelajar.
“Selain dapat berbuka bersama, makan percuma dan sebagainya, mereka juga belajar macam mana proses pembuatan surat khabar, buku dicetak serta cara bagaimana pihak media bekerja,” ujarnya.
Wakil murid SM Sains Seri Puteri, Alia Zafeera Abdull Hadi, 17, berkata, dia dan rakan-rakannya beroleh pengalaman baharu melalui lawatan ini.
“Ia sangat bermakna buat saya, insya-ALLAH kalau ada lagi program seperti ini memang saya tidak akan lepaskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin memuji, semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh pelajar berkenaan apabila mereka sendiri menawarkan diri untuk membantu petugas menyediakan makanan serta mengagihkan juadah kepada pengunjung iftar.
Menurutnya, perkara itu bukan sekadar memberi pengalaman berbuka puasa dalam suasana berbeza, malah mendidik pelajar untuk lebih prihatin dan merendah diri dengan berkhidmat kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
