Iftar Ala Madinah cetus kerjasama Sedania-Karangkraf santuni golongan rentan

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf memberi inspirasi kepada Sedania Innovator Berhad untuk terus menyantuni lebih ramai golongan rentan, termasuk anak yatim dan asnaf, pada masa hadapan.
Pengarah Urusan Sedania Innovator Berhad (Sedania), Datuk Azrin Md Noor, berkata usaha Kumpulan Karangkraf menganjurkan program berbuka puasa secara percuma kepada lebih 1,500 tetamu, termasuk golongan berpendapatan rendah (B40) setiap hari bekerja sepanjang Ramadan, wajar dipuji.
Menurutnya, sebelum ini Sedania kerap menyumbang kepada anak yatim dan golongan asnaf, termasuk meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa di hotel mewah setiap tahun.
“Namun, apabila kami mengetahui bahawa Kumpulan Karangkraf menyediakan juadah berbuka puasa kepada lebih 1,500 tetamu setiap hari, kami mengubah strategi dengan menaja anak yatim dan asnaf untuk berbuka puasa di program Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
“Pada masa sama, dana yang sebelum ini diperuntukkan untuk membawa mereka berbuka puasa di tempat lain disalurkan terus kepada rumah kebajikan bagi kegunaan yang lebih bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tajaan Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf kepada Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, di sini, pada Rabu.

Berikutan itu, Azrin menegaskan bahawa pihaknya komited untuk meneruskan tajaan bagi program tersebut pada tahun depan.
Tambahnya, konsep yang diterapkan oleh Sedania adalah memberikan bantuan berterusan kepada anak-anak yatim sejak kecil hingga mereka dewasa dan berjaya dalam kehidupan.
“Kita tidak boleh hanya memberikan bantuan secara ‘one-off’ atau sekali sahaja.
“Jika kita mahu membantu anak yatim, kita perlu melakukannya dengan cara yang betul dan berterusan sehingga mereka mampu berdikari. Ini bukan sahaja mengubah hidup mereka, malah membolehkan mereka membantu orang lain pada masa depan.
“Saya juga percaya bahawa sebagai umat Islam, kita bukan sahaja perlu membantu golongan miskin dan anak yatim, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan harta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital Sdn Bhd, Nisa Ismail, berkata pihaknya memilih untuk bekerjasama dengan Kumpulan Karangkraf kerana kedua-dua entiti berkongsi matlamat sama, iaitu memperkasakan kehidupan rakyat.
Menurutnya, kerjasama antara dua syarikat bumiputera ini juga penting bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kepentingan pengurusan harta.
“Ini penting kerana saya difahamkan ketika ini terdapat lebih RM90 bilion aset milik umat Islam di Malaysia yang dibekukan oleh kerajaan dan institusi kewangan atas pelbagai sebab,” katanya.
Justeru, Nisa berkata, pihaknya bercadang untuk bekerjasama dengan Sinar Plus di bawah Kumpulan Karangkraf bagi menganjurkan program bual bicara Borak Bibir Merah.
Jelasnya, inisiatif itu bertujuan mengupas pelbagai isu berkaitan kepentingan pengurusan harta secara lebih santai dan inklusif.
Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin, berkata pihaknya sentiasa berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan syarikat korporat dalam usaha memperkasakan rakyat, khususnya komuniti setempat.
Menurutnya, kerjasama antara entiti korporat seperti Karangkraf dan Sedania amat penting dalam meringankan beban ekonomi rakyat serta merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Justeru, beliau berharap agar kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kebaikan rakyat yang memerlukan.
“Inisiatif Sedania dalam berkolaborasi dengan kami menerusi program Iftar Ala Madinah ini membuktikan komitmen bersama untuk membantu masyarakat.
“Kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama strategik dalam skala yang lebih besar dengan Sedania serta syarikat korporat lain pada masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
