Daftar awal demi Iftar Ala Madinah

SHAH ALAM - Pengunjung Iftar Ala Madinah @Karangkraf mengakui membuat pendaftaran awal demi mendapatkan slot tempat berbuka puasa di Dataran Karangkraf di sini.
Seorang pengunjung, Aziyani Arzmi, 43, berkata, keunikan konsep program yang dibawakan Karangkraf sepanjang Ramadan menjadi antara daya penarik untuk mereka sekeluarga tidak mahu terlepas peluang.

“Boleh dikatakan setiap tahun saya menyertainya bersama keluarga. Cuma, tahun ini slot habis cepat.
“Slot iftar terhad dan adakalanya saya tidak sempat untuk mendaftar namun saya tidak berputus asa dan akan cuba mendaftar seawal mungkin. Adakalanya, saya sanggup tunggu lepas sahur untuk daftar slot iftar itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi pengunjung, Irwan Khalid, 41, berkata, program diadakan itu merupakan acara tahunan yang dinanti-nanti penduduk setempat termasuk dirinya sepanjang Ramadan.
“Apabila berkelapangan, saya dan isteri akan datang bersama anak (Yusof Hawari, 10) setiap tahun dan pengalaman berbuka puasa secara beramai-ramai ini amat menyeronokkan.
“Kalau boleh, kami sentiasa nak sertai iftar ini. Memang seronok, bukan selalu ada aktiviti sebegini dan hanya setahun sekali,” katanya.
Tambah Irwan, dia berasa seronok dapat berkumpul bersama rakan-rakan sambil menikmati pelbagai pilihan makanan sedap dan menyelerakan yang diberikan secara percuma kepada pengunjung.
“Jadi, saya syorkan kepada warga Shah Alam untuk menyertainya dan diharapkan boleh datang lagi pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Nur Harnida Ayu Kapit, 40, berkata, dia sekeluarga juga ternanti-nanti untuk berbuka puasa beramai-ramai dalam program tahunan yang diadakan sepanjang Ramadan tersebut.

Dia berkata, anaknya, Nur Aafiya Aqilah Nor Zamrin, 7, dan Nur Aisyah Dayana, 10, antara yang paling teruja dan tidak sabar menunggu penganjuran program iftar tersebut.
“Setiap hari, mereka akan tanya bila hendak berbuka puasa lagi di Karangkraf, boleh makan percuma dan dapat jumpa kawan-kawan sekolah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam,” katanya.

Iftar Ala Madinah @ Karangkraf berlangsung dari 3 hingga 27 Mac ini bermula jam 6 petang setiap hari kecuali Sabtu, Ahad serta cuti umum.
Orang ramai yang berminat untuk hadir diingatkan mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari melalui imbasan kod respons pantas (QR) di laman web rasmi Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-2133315.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

