'Mahu ziarah kubur arwah ibu pada pagi raya'

Harun ketika ditemui pemberita di Penjara Marang pada Isnin.
Harun ketika ditemui pemberita di Penjara Marang pada Isnin.
A
A
A

MARANG - "Saya mahu ziarah pusara arwah ibu bagi membacakan doa dan Yasin untuk disedekahkan kepada dirinya pada pagi Hari Raya Aidilfitri nanti."

Demikian luah seorang banduan yang mahu dikenali Harun, 49, yang tidak berpeluang menatap wajah ibunya buat kali terakhir pada awal Mac lalu kerana masih berada dalam penjara.

"Saya rasa sedih kerana kehilangan ibu... saya memang rapat dengan ibu. Kali terakhir saya jumpa dia sebelum masuk penjara.

"Benda pertama saya nak lakukan pada pagi raya untuk ziarah kubur arwah ibu di Dungun. Saya betul-betul rindukan ibu dan insaf atas kesalahan dilakukan.

"Saya mahu membuktikan kepada diri dan keluarga bahawa saya mampu berubah dan membina kehidupan lebih baik selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Marang di sini pada Isnin.

Harun merupakan antara 62 banduan yang dibebaskan dalam Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani - Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.

Harun yang dua kali masuk penjara berjanji untuk tidak kembali ke kancah penagihan dadah kerana sudah insaf dengan perbuatan tersebut.

"Kehilangan ibu saya benar-benar membuatkan saya insaf dan tekad mahu berubah untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama meskipun penyesalan tidak mampu mengubah masa silam.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah... saya bersyukur terpilih untuk bebas pada hari ini. Dapat bekerja di luar, dan bertemu keluarga di kampung.

"Selepas dibebaskan nanti, saya akan bekerja sebagai tukang rumah. Kesempatan kedua yang diberikan kepada saya merupakan peluang untuk menebus kesilapan lalu dan memulakan lembaran hidup baharu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!