Israel perhebat serangan darat di Genting Gaza

BAITULMAQDIS - Tentera Israel meneruskan operasi darat di seluruh Genting Gaza pada Ahad, mengepung sebahagian bandar Rafah berhampiran Mesir hampir seminggu selepas serangan baharu dilancarkan ke atas wilayah Palestin itu.
Walaupun terdapat gesaan untuk memulihkan gencatan senjata Januari lalu dengan Hamas, Israel tetap meneruskan kepungan di Gaza serta berdepan ketegangan di Lubnan dan serangan peluru berpandu dari Yemen.
Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikuasai Hamas melaporkan sekurang-kurangnya 50,021 orang terbunuh sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023, manakala data pertahanan awam menunjukkan angka korban melebihi 50,000 orang.
Tentera Israel mengesahkan mengepung Tal al-Sultan di Rafah dengan matlamat memusnahkan infrastruktur pejuang dan membunuh pejuang di kawasan itu. Penduduk telah diberi amaran untuk berpindah sebelum serangan dilancarkan.
Di Khan Yunis, penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal bergelut mendapatkan makanan ketika Ramadan, dengan sekatan berterusan menyukarkan bantuan memasuki Gaza.
Tiga minggu lalu, Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan elektrik bagi memberi tekanan kepada Hamas supaya menerima syarat gencatan senjata dan membebaskan 58 tebusan yang masih ditahan.
Pada Jumaat, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan tentera merampas lebih banyak wilayah Gaza dan memberi amaran kemungkinan ia akan diambil alih jika Hamas enggan memenuhi tuntutan Israel.
Susulan itu, Perancis menentang sebarang bentuk aneksasi, manakala Perancis, Britain dan Jerman mengkritik serangan Israel sebagai tindakan yang memburukkan keadaan.
Di Lubnan, Israel mengesahkan membunuh seorang anggota Hizbullah dalam serangan di Aita al-Shaab, selepas pertempuran sengit berlaku pada Sabtu. Serangan ini adalah yang paling serius sejak gencatan senjata November lalu.
Di Israel, penentangan terhadap perang semakin meningkat dengan tunjuk perasaan besar-besaran di Baitulmaqdis, mendesak kerajaan Netanyahu menghentikan konflik dan mencari penyelesaian damai. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
