Pengosongan Kampung Sungai Baru sebelum Aidilfitri cabuli hak penduduk

Afnan Hamimi
Afnan Hamimi
A
A
A

SHAH ALAM - Arahan pengosongan Kampung Sungai Baru sebelum 26 Mac ini bukan sekadar pemindahan biasa, tetapi satu bentuk pengusiran yang mencabul hak penduduk tempatan.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tanpa rundingan yang adil dan penyelesaian saksama, penduduk dipaksa meninggalkan kediaman yang telah diwarisi turun-temurun.

“Lebih menyayat hati, sebelum tempoh akhir yang ditetapkan, kawasan ini telah dipagarkan, seolah-olah menahan penduduk dalam ruang yang semakin mengecil.

“Keadaan ini menyebabkan mereka menyamakan Kampung Sungai Baru dengan ‘Little Gaza’ kerana ditekan, dizalimi dan dinafikan hak oleh pihak berkepentingan. Kampung ini bukan sekadar rumah bagi penduduk, tetapi sebahagian daripada sejarah dan warisan bangsa.

“Tanah ini adalah tanah rizab Melayu dan pemiliknya mempunyai geran yang sah. Hak mereka sepatutnya lebih utama berbanding kepentingan pemaju yang hanya mencari keuntungan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebagai tanda solidariti, beliau turut menyeru orang ramai untuk turun ke Kampung Sungai Baru pada 26 Mac ini sebagai tanda sokongan kepada penduduk terlibat.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.

Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.

Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.

Terbaharu, penduduk unit flat yang terlibat dengan APT 1960 menerima notis pengosongan premis berkuatkuasa Rabu ini, menjelang beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!