Zionis jadikan dunia dikuasai 'undang-undang binatang di rimba' - Abdul Hadi

SHAH ALAM - Masyarakat dunia kini dipengaruhi oleh pemimpin bersikap rakus dan bernafsu binatang meskipun mempunyai akal fikiran sempurna, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, rejim Zionis menggunapakai undang-undang seperti binatang di rimba dan bertindak sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan hak asasi manusia serta keadilan antarabangsa.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, masyarakat dunia juga menghadapi ancaman kehilangan nilai kemanusiaan dan perikemanusiaan sejagat, ditambah pula kemajuan bidang sains serta teknologi yang semakin pesat.
"Perlumbaan mencipta senjata pemusnah dalam kalangan kuasa besar yang kembali menjajah menjadikan manusia lebih ganas daripada binatang di rimba. Undang-undang antarabangsa tak bermaya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tak boleh buat keputusan, bahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beri kuasa veto pembatalan keputusan kepada negara besar.
"Maka, undang-undang antarabangsa seperti sarang labah-labah yang menahan serangga kecil, tetapi boleh dirempuh burung besar. Dunia dipengaruhi oleh para pemimpin yang sikapnya rakus dengan nafsu kebinatangan, meskipun mempunyai akal.
"Siapa yang kuat dijadikan penentu keadilan mengikut nafsu mengagungkan harta dan takhta. Keadaan ini seperti binatang buas di rimba serta ditentukan oleh yang paling ganas, kini keganasan melampau disambung lagi oleh rejim Israel di Palestin," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Israel kembali melancarkan gelombang serangan udara besar-besaran ke atas Gaza pada awal pagi Selasa minggu lalu dan mencabuli perjanjian gencatan senjata, malah sebahagian besar mangsa terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin pada Ahad, sekurang-kurangnya 41 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah kematian sejak Oktober 2023 meningkat kepada 50,021 orang.
Kementerian terbabit memaklumkan, jumlah itu termasuk dua mayat yang dikeluarkan daripada runtuhan dalam tempoh 24 jam lepas.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berpandangan, Israel menguasai ekonomi dunia dengan kekayaan melampau secara haram melalui penjajahan, penindasan dan penipuan.
Tambahnya, dengan pengaruh wang, Israel menguasai kepimpinan besar khususnya Amerika Syarikat (AS) negara-negara Eropah, Arab, pertubuhan antarabangsa, media serta perdagangan.
"Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baharu memenangi pilihan raya dengan sokongan mereka membuat kenyataan terbuka untuk membantu Zionis melalui pembekalan segala bentuk senjata termasuk yang dilarang undang-undang antarabangsa.
"Namun begitu, AS dan Eropah tanpa bermaruah melabel Palestin dan pihak yang membantu sebagai pengganas serta pelampau sehinggakan menyerang Yaman, mengancam Iran dan negara yang menentang Zionis.
"Pihak Zionis dan sekutunya melancarkan serangan ganas termasuklah sasaran awam sehingga membunuh penduduk, bukan sahaja tentera. Sedangkan, ia bahasa bohong yang nyata tanpa moral kemanusiaan menepati amaran ALLAH SWT melalui Surah al-Baqarah ayat 204 hingga 206," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

