MBPJ tegas pantau kesalahan di bazar Ramadan

Sehingga 23 Mac unit penguatkuasaan MBPJ merekodkan 218 kesalahan membabitkan kes peniaga tidak memakai apron, penutup kepala dan berkasut di bazar Ramadan.
Sehingga 23 Mac unit penguatkuasaan MBPJ merekodkan 218 kesalahan membabitkan kes peniaga tidak memakai apron, penutup kepala dan berkasut di bazar Ramadan.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran peraturan di bazar Ramadan tahun ini.

Sehingga 23 Mac, sebanyak 218 kes peniaga tidak memakai apron, penutup kepala, dan berkasut direkodkan, menjadikannya kesalahan tertinggi di bazar Ramadan Bahagia & Lestari 2025.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon, menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi garis panduan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Kami komited memastikan bazar Ramadan bukan sahaja menjadi tempat membeli juadah berbuka, tetapi juga mengekalkan standard kebersihan tinggi,” katanya selepas Mesyuarat Majlis MBPJ pada Isnin.

Selain itu, MBPJ merekodkan 205 kes peniaga tidak menyediakan tong sampah, 176 kes menggunakan pembantu tidak berdaftar, serta 165 kes tidak memiliki TY2 yang sah. Terdapat juga 72 kes penggunaan pekerja asing tanpa kelulusan dan 59 kes peniaga tidak menggantung nombor petak niaga.

Menurut Mohamad Zahri, pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan pematuhan.

“Peniaga perlu bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan.

"MBPJ turut menggalakkan peniaga menghadiri sesi taklimat kebersihan untuk mengurangkan kesalahan berulang,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!