Bazar Ramadan PJ lebih hijau tahun ini

MOHAMAD ZAHRI
MOHAMAD ZAHRI
A
A
A

PETALING JAYA – Bazar Ramadan di Petaling Jaya pada tahun ini bukan sekadar tempat membeli juadah berbuka, tetapi juga medan perubahan ke arah kelestarian alam.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Eco Lestari memperkenalkan inisiatif hijau bagi mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan kadar kitar semula, menjadikan Ramadan lebih mesra alam.

Antara program utama yang diperkenalkan ialah kitar semula minyak masak terpakai, pengasingan sisa makanan, serta pertandingan pengumpulan minyak masak terpakai yang menawarkan hadiah wang tunai sebagai insentif.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon mendedahkan sehingga 10 Mac 2025, sebanyak 512 kilogram sisa makanan telah dikumpul dan diproses menjadi baja organik, manakala 511.5 kilogram minyak masak berjaya dikitar semula.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa bazar Ramadan bukan sahaja memainkan peranan sebagai pusat ekonomi, tetapi juga sebagai platform penting dalam usaha pemeliharaan alam sekitar," katanya dalam Mesyuarat Majlis MBPJ di Ibu Pejabat MBPJ di sini pada Isnin.

Bagi mengurangkan pembaziran, MBPJ turut mengedarkan lebihan makanan kepada masjid, surau, rumah anak yatim, serta golongan memerlukan menerusi Ahli Majlis MBPJ.

"Langkah ini memastikan makanan yang masih elok dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan," ujarnya.

Dalam usaha menggalakkan pembayaran digital, MBPJ turut memperuntukkan RM30,000 bagi Kupon Digital PLATS dengan kerjasama Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

Jelasnya, setiap kupon bernilai RM15 boleh ditebus di enam bazar Ramadan terpilih, sekaligus memudahkan orang ramai berbelanja secara tanpa tunai.

Artikel Berkaitan:

Tidak ketinggalan, MBPJ juga memperkenalkan Menu Rahmah Madani dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor.

"Inisiatif ini memberikan insentif kepada peniaga yang menjual makanan pada harga RM5, membantu orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga yang lebih berpatutan," tambahnya.

Dengan pelbagai usaha ini, Ramadan di Petaling Jaya bukan sahaja lebih meriah tetapi juga lebih lestari, menjadikan bandar ini contoh terbaik dalam pemeliharaan alam sekitar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!