Terengganu tidak sekat rezeki penggiat seni jalanan - Exco

Razali (tengah) pada sidang akhbar sempena program Peliter@Perasing di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing.
Razali (tengah) pada sidang akhbar sempena program Peliter@Perasing di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing.
A
A
A

KEMAMAN – Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa larangan sementara aktiviti hiburan jalanan (busking) sepanjang 10 malam terakhir Ramadan bukan bertujuan menyekat rezeki penggiat seni, sebaliknya sebagai langkah menghormati suasana ibadah dalam tempoh tersebut.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rungutan rakyat mengenai gangguan bunyi serta kesesuaian hiburan pada penghujung Ramadan.

"Kerajaan negeri tiada niat menyekat sesiapa mencari rezeki, tetapi apabila ia menimbulkan keresahan rakyat, tindakan perlu diambil sebagai penyelesaian.

"Tindakan susulan juga akan dibuat bagi membantu buskers mengurangkan kesan akibat larangan sementara ini," katanya selepas program Peliter@Perasing di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, malam tadi.

Pada program itu, wakil Persatuan Buskers Terengganu yang diketuai Setiausaha Agungnya, Mohd Fazli A Rahman, sempat bertemu Razali bagi menyampaikan memorandum dan memohon pertemuan bersama pihak berkaitan.

Menurut Razali, kumpulan buskers merupakan sebahagian daripada ekosistem pelancongan negeri, sama seperti pesta moreh yang turut merancakkan ekonomi setempat.

Namun, jelasnya, keputusan menghentikan sementara busking dibuat kerana terdapat persembahan yang dianggap kurang sesuai dalam tempoh ibadah yang sangat dihormati ini.

"Ada persembahan yang dikatakan agak keras. Apabila rakyat mengkritik, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih konkrit.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah menghentikan sementara aktiviti busking bagi memberi ruang kepada masyarakat memperbanyakkan ibadah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Rosli Latif, telah memberi respons positif bagi membantu buskers yang terjejas menjelang Aidilfitri.

"Saya yakin golongan buskers memahami keputusan kerajaan ini. Selepas Hari Raya Aidilfitri, mereka boleh meneruskan aktiviti seperti biasa.

"Kita juga akan meneliti garis panduan yang lebih baik untuk Ramadan akan datang agar keseimbangan antara hiburan dan penghormatan terhadap ibadah dapat dicapai," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa Kerajaan Terengganu melarang semua persembahan muzik jalanan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Menurut Wan Sukairi, larangan itu berkuat kuasa bermula 20 hingga 30 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!