'Tular larangan penerbangan dron gara-gara kewujudan ladang ganja'

Pihak berkuasa turun meninjau kawasan ladang ganja yang ditemui. - Foto: Agensi
Pihak berkuasa turun meninjau kawasan ladang ganja yang ditemui. - Foto: Agensi
A
A
A

LUMAJANG – Sebuah video yang merakam penemuan ladang ganja di lereng Gunung Bromo dan Gunung Semeru menggunakan dron telah tular di media sosial baru-baru ini.

Media tempatan melaporkan, rakaman tersebut mencetuskan spekulasi dalam kalangan warganet yang mengaitkan kewujudan ladang ganja dengan larangan penggunaan dron di kawasan konservasi pelancongan itu.

Malah, ada juga yang menghubungkannya dengan penutupan Gunung Semeru dalam beberapa bulan terakhir.

Mengulas isu tersebut, Ketua Balai Besar Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Rudijanta Tjahja Nugraha menafikan dakwaan bahawa larangan dron berkaitan dengan ladang ganja berkenaan.

“Ladang ganja itu memang ditemui di kawasan TNBTS, namun bukan di jalur pelancongan atau pendakian Gunung Bromo dan Gunung Semeru,” jelasnya.

Menurut beliau, ladang ganja tersebut ditemui antara 18 hingga 21 September 2024 di Desa Argosari, Kecamatan Senduro, Kabupaten Lumajang, iaitu di Blok Pusung Duwur Resort, dalam wilayah pengurusan Taman Nasional di kawasan Senduro dan Gucialit.

“Lokasinya sangat terpencil, tertutup dengan semak belukar yang tebal dan sukar untuk diakses,” katanya.

Rudijanta turut mengesahkan bahawa pihak Polis Daerah Lumajang telah menahan empat suspek yang merupakan penduduk Desa Argosari. Kesemua mereka kini sedang dibicarakan di Mahkamah Negeri Lumajang.

Menjawab spekulasi mengenai larangan dron, beliau menjelaskan bahawa peraturan tersebut telah dikuatkuasakan sejak 2019 bagi memastikan keselamatan pendaki dan kesejahteraan ekosistem taman nasional.

“Larangan ini bukan baharu dan tidak ada kaitan langsung dengan penemuan ladang ganja berkenaan,” tegasnya.

Menurutnya, kadar bayaran penggunaan dron di kawasan TNBTS adalah sebahagian daripada Peraturan Pemerintah No. 36 Tahun 2024 yang berkuat kuasa sejak 30 Oktober 2024, dan diterapkan di semua kawasan konservasi di Indonesia, termasuk taman nasional dan taman pelancongan alam. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!