'Kematian mereka dicemburui, dijemput pada bulan mulia'

BESUT – Keluarga mangsa kemalangan maut di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Padang Landak menyifatkan pemergian dua beranak dalam tragedi itu sebagai ‘kematian yang dicemburui’.
Dalam kejadian malam Khamis, Mohd Nazri Mohd Nor, 59, dan anaknya, Muhammad Hamas Mohd Nazri, 25, maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Jenazah kedua-dua mangsa disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Luas, Jertih, kira-kira jam 3.30 petang pada Jumaat.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila lebih 200 ahli keluarga, saudara-mara, rakan serta penduduk kampung hadir memberikan penghormatan terakhir.
Anak sulung arwah, Mohd Abidul Hannan Mohd Nazri, 27, reda dengan pemergian ayah dan adiknya yang disifatkan sebagai ketentuan Allah.

"Saya reda dengan pemergian ayah dan adik... kematian mereka amat dicemburui kerana dijemput dalam bulan Ramadan yang mulia ini," katanya sebak.
Sementara itu, anak bongsu keluarga, Muhamad Hafiy Mohd Nazri, 15, menceritakan detik terakhir sebelum kejadian berlaku.
"Selepas berbuka, ayah dan abang naik motosikal ke masjid terlebih dahulu, manakala saya dan ibu menyusul menaiki kereta.
"Dalam perjalanan, kami nampak ambulans di lokasi kejadian, tapi tak sangka kemalangan itu melibatkan ayah dan abang,"* katanya sayu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, siasatan mendapati nahas tersebut membabitkan motosikal Honda EX5 yang dinaiki mangsa dan Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.
"Kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!