Imam, anak maut dalam perjalanan ke masjid

Mohd Nazri (kiri) bersama anak lelakinya Muhammad Hamas (Kanan) meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke masjid.
Mohd Nazri (kiri) bersama anak lelakinya Muhammad Hamas (Kanan) meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke masjid.
A
A
A

BESUT – Seorang bapa dan anaknya maut dalam perjalanan ke Masjid At-Taqwa di sini untuk menunaikan solat tarawih selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, mangsa, Mohd Nazri Mohd Nor, 59, yang merupakan imam masjid, dan anak lelakinya, Muhammad Hamas, 25, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besut akibat kemalangan tersebut.

Menurutnya, nahas di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, Kampung Padang Landak, Besut itu melibatkan sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang Mohd Nazri bersama anaknya serta sebuah Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.

"Kejadian berlaku ketika Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari arah Jerteh ke Padang Landak. Sebaik tiba di lokasi, kenderaan tersebut melanggar motosikal mangsa dari arah belakang selepas motosikal itu membuat pusingan U dan mengubah haluan ke lorong tengah untuk ke Masjid At-Taqwa di sebelah kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang merupakan aktivis dakwah dan anaknya yang parah dikejarkan ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Azamuddin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Shafiqqul Aliff Mohamad Sobri di talian 011-10929400.

"Kami juga menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa memandu dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!